Selasa, 26 April 2022 | 7:01pm
Seng Fong Holdings Bhd
Seng Fong Holdings Bhd

Seng Fong dapat 'lampu hijau' ke Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Seng Fong Holdings Bhd, pengeluar getah dan pedagang Getah Standard Malaysia (SMR) serta getah blok gred premium mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Pengarah Urusan Seng Fong, Er Hock Lai, berkata penyenaraian itu akan membantu syarikat mengembangkan pangkalan pelanggannya di peringkat global sambil membolehkan mereka mendapat akses kepada pasaran modal untuk mengumpul dana bagi peluang pertumbuhan masa hadapan.

"Penyenaraian itu juga membolehkan kami mengumpul dana yang kami perlukan untuk pemasangan sistem biojisim yang akan menyediakan sumber bahan api untuk operasi pemprosesan kami dan pada masa yang sama mencapai penjimatan kos dengan mengurangkan kos bahan api keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hock Lai berkata, Seng Fong akan memasang dua unit sistem solar untuk membantu syarikat mengurangkan kos elektrik serta membantu mencapai matlamat kemampanan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Sebahagian daripada hasil daripada penyenaraian itu juga akan disalurkan kepada keperluan modal kerja, yang akan termasuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan membayar balik pinjaman bank, merangkumi pinjaman berjangka untuk pemasangan sistem solar, katanya.

Menurut draf prospektus tawaran awam permulaan (IPO) Seng Fong yang disiarkan di laman sesawang SC, penyenaraian itu melibatkan tawaran awam permulaan sehingga 160.87 juta saham biasa yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 90.81 juta saham dan tawaran untuk dijual sehingga 70.06 juta saham.

Saham IPO dibahagikan kepada tawaran institusi sehingga 118.68 juta saham mewakili 22.9 peratus daripada saham terbitan yang diperbesarkan dan, tawaran runcit sehingga 42.20 juta saham mewakili 8.1 peratus daripada saham terbitan yang diperbesarkan.

Dengan sejarah sejak 1986, Seng Fong terlibat terutamanya dalam pemprosesan getah blok gred SMR dan premium serta perdagangan getah blok, dan pelanggannya kebanyakannya adalah pengeluar tayar atau peniaga getah antarabangsa.

Syarikat itu juga mengendalikan makmal yang diluluskan oleh Lembaga Getah Malaysia untuk ujian, penggredan dan pensijilan getah blok yang diproses.

Hampir semua hasil Seng Fong diperoleh daripada jualan kepada pelanggan antarabangsa untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 hingga 2021.

Hong Leong Investment Bank Bhd adalah penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO terbabit.

-BERNAMA

Berita Harian X