Jumaat, 22 April 2022 | 1:07pm
Gaya menarik pada pertunjukan fesyen EID Mubarak Prêt-à-Porter penuh gemilang di Hotel Ames Melaka. - NSTP/ NAZRI ABU BAKAR
Gaya menarik pada pertunjukan fesyen EID Mubarak Prêt-à-Porter penuh gemilang di Hotel Ames Melaka. - NSTP/ NAZRI ABU BAKAR

STI agresif jadikan Melaka hub fesyen

MELAKA: Sheng Tai International Sdn Bhd (STI), syarikat pemaju yang banyak memenangi anugerah dan pakar dalam pelancongan hartanah, kini menyasar untuk mengubah Melaka menjadi 'Milan' kedua dan menjadi hub kreatif kepelbagaian budaya.

Justeru, dalam usaha ke arah hasrat berkenaan STI menganjurkan pertunjukan fesyen EID Mubarak Prêt-à-Porter penuh gemilang di Hotel Ames yang hanya dihadiri jemputan khas yang dibawakan Fashion TV Academy Malaysia dengan kerjasama antara STI dan FashionTV, saluran televisyen penyiaran fesyen dan gaya hidup antarabangsa dari Paris.

Pertunjukkan fesyen EID MUBARAK Prêt-à-Porter mempamerkan koleksi Raya sedia dipakai (ready-to-wear) yang unik bagi lelaki dan perempuan hasil rekaan 10 pereka tempatan. Mereka adalah Yan Creations, Kalai, Baqo, Faramas, Amin Jauhary, CARRO, Jayk, Sri Candy, Suliani dan Bill Keith, yang juga pereka fesyen antarabangsa kelahiran Malaysia.

Barisan pereka fesyen terbabit juga menampilkan busana raya menarik dan terkini sesuai dengan semua bentuk tubuh.

Pengasas dan Pengerusi STI, Datuk Leong Sir Ley, berkata sejak pihaknya mengadakan usaha sama dengan FashionTV dari Paris, STI giat membantu menyemarakkan perkembangan industri fesyen tanah air menerusi pelbagai inisiatif dan penganjuran pelbagai acara fesyen.

Katanya, EID Mubarak Prêt-à-Porter juga salah satu darinya yang bertujuan untuk menyediakan platform kepada keseluruhan ekosistem industri fesyen tempatan termasuk pereka fesyen, model dan jurusolek mempamerkan bakat mereka dan berinterasi dengan tetamu yang hadir.

"Kami sangat berbesar hati petunjukan ini terbabit berjaya mencapai matlamatnya. Maklum balas yang kami terima setakat ini juga amat memberangsangkan.

"Dengan pembukaan semula sempadan, kami positif boleh terus menerajui inisiatif yang lebih kreatif untuk mengangkat kebudayaan Malaysia, khususnya Melaka, ke Milan seterusnya memainkan peranan kami dalam mengemudi pemulihan ekonomi yang terjejas disebabkan oleh COVID-19," katanya.

Malah STI turut membuka galeri The Straits Designer Gallery (SDG) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membentuk semula Melaka menjadi 'hab kreatif dan kebudayaan masa depan' melalui hartanahnya. Berukuran kira-kira 5,500 kaki persegi, SDG mempamerkan lebih 60 koleksi, kasut, bag klac dan aksesori terbaru pereka tempatan yang sedia dipakai.

STI sebelum ini dikenali sebagai Sheng Tai Realty Sdn. Bhd adalah syarikat pembangunan hartanah yang pelbagai, selain daripada pengurusan pelaburan dan hospitaliti dengan kepakaran pengkhususan dalam pelancongan hartanah.

Syarikat terbabit diasaskan Sir Ley, salah seorang ahli perniagaan wanita di Malaysia yang menubuhkan rangkaian platform pelaburan hartanah antarabangsa.

Syarikat terbabit menawarkan pelbagai kategori produk pelaburan yang bermutu dengan perkhidmatan profesional dan mesra.

"Ditubuhkan pada 2012 ketika ketidaktentuan ekonomi global, kejayaan berterusan STI adalah berkat kemampuan kami melawan arus dan melihat peluang dalam setiap cabaran.

"Komitmen kami terhadap pertumbuhan, kecemerlangan dan kualiti adalah pendekatan kami yang menjayakan syarikat sejak kemunculan kami. Di Malaysia, STI dalam industri menerusi subsidiari seperti Plentifield Marketing Sdn Bhd, dan Sheng Tai Impression Sdn Bhd.

"Di peringkat antarabangsa pula, kehadiran kami pada masa ini adalah melalui cabang luar negara dikenali Sheng Tai International (HK) Limited, yang beroperasi sejak 2012 dan berperanan sebagai pintu masuk penting ke pasaran Hong Kong dan China," kata Sir Ley.

Syarikat itu juga baru-baru ini membuka cawangan utama di Shanghai, China pada September 2019, Tokyo pada Mei 2020 dan Beijing pada October 2020.

Sheng Tai International juga pemaju yang memenangi anugerah dan berupaya merentasi pelbagai negara di Asia dengan menawarkan pelbagai produk hartanah bersama perkhidmatan yang menyeluruh dan jenama yang memenuhi kehendak pasaran mewah.

Sheng Tai International kini mempunyai lebih daripada 500 kakitangan yang sangat berupaya dan bersemangat bagi memastikan kualiti perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan kami.

"Kumpulan kami dipacu oleh nilai korporat yang utuh dengan menekankan integriti, profesionalisme dan amanah," kata beliau.

Berita Harian X