Khamis, 21 April 2022 | 8:05pm
AirAsia X menyambut penerbangan D7 505 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul ke klia2 hari ini - Foto ihsan AirAsia X
AirAsia X menyambut penerbangan D7 505 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul ke klia2 hari ini - Foto ihsan AirAsia X

AirAsia X terbang semula ke Korea Selatan, India

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan jarak jauh tambang rendah AirAsia X (AAX) hari ini mengalu-alukan penerbangan D7 505 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2), menandakan penyambungan semula perkhidmatan mingguannya ke/dari Korea Selatan selepas dihentikan selama dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail, berkata dalam satu kenyataan bahawa hari ini menandakan satu pencapaian penting apabila syarikat penerbangan itu pulih dan negara dapat meneruskan industri pelancongannya.

Penyambungan semula laluan paling popular AAX secara berperingkat ini amat dinantikan oleh tetamu dan di seluruh rantaian nilai dalam sektor pelancongan, seterusnya merangsang pemulihan ekonomi negara secara keseluruhan, katanya.

"AAX berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan industri yang berkaitan untuk membina semula industri penerbangan dan pelancongan bersama-sama.

"Kami akan terus menyemak rangkaian kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pasaran utama. Lebih banyak perkhidmatan ke destinasi lain akan diumumkan dalam masa terdekat seiring dengan pembukaan sempadan antarabangsa," jelas beliau.

Tambang termasuk semua dari Kuala Lumpur ke Incheon (Seoul) bermula daripada RM873 untuk tempat duduk ekonomi atau tetamu boleh memilih untuk menikmati Premium Flatbed daripada RM2,199 sehala. Dari Incheon (Seoul) ke Kuala Lumpur, tambang termasuk semua bermula daripada RM1,050 dan RM2,880 sehala.

AAX juga menyambung semula perkhidmatan dua kali seminggu ke/dari New Delhi, India semalam dengan acara pelepasan di klia2 untuk menandakan peristiwa itu.

Tambang termasuk semua dari Kuala Lumpur ke New Delhi bermula daripada RM565 untuk tempat duduk ekonomi atau tetamu boleh memilih untuk menikmati Premium Flatbed daripada RM1,830 sehala termasuk semua.

Dari New Delhi ke Kuala Lumpur, tambang termasuk semua bermula daripada 9,669 rupee dan 33,1190 rupee sehala.

-BERNAMA

Berita Harian X