Rabu, 20 April 2022 | 6:36pm
Elon Musk membeli 9.1 peratus pegangan dalam Twitter dua minggu lalu - Foto Reuters
Elon Musk membeli 9.1 peratus pegangan dalam Twitter dua minggu lalu - Foto Reuters

Musk dijangka labur RM63.8 bilion ambil alih Twitter

NEW YORK: Ahli perniagaan, Elon Musk dijangka melabur sehingga AS$15 bilion (RM63.8 bilion) untuk menyahsenarai Twitter dari Bursa Saham New York dan menjadikannya sebagai syarikat persendirian.

Menurut Sputnik yang memetik sumber memberitahu New York Post, cadangan pelaburan itu adalah usaha hartawan terkemuka itu menjadikan gergasi media sosial itu sebagai model kebebasan bersuara.

Musk, yang asetnya dianggarkan oleh Forbes bernilai kira-kira AS$270 bilion (RM1.15 trilion), menjadikan beliau sebagai individu terkaya dunia, membeli 9.1 peratus pegangan dalam Twitter pada nilai sekitar AS$3 bilion (RM12.76 bilion) dua minggu lalu, diikuti tawaran sehingga AS$43 bilion (RM182.85 bilion) untuk baki saham yang belum dimilikinya dalam perkhidmatan blog mikro popular dunia itu.

Menurut New York Post, meskipun memiliki kekayaan, Musk berdepan kesukaran untuk menjana dana bagi merealisasikan perjanjian itu.

Ia berkata, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pengeluar kereta elektrik, Tesla bertaraf hartawan dan syarikat pengembaraan angkasa lepas, Space X merancang untuk melancarkan tender tawaran dalam masa 10 hari di mana bank di Wall Street, Morgan Stanley mampu membiayai hutang AS$$10 bilion (RM42.5 bilion) lagi.

Beberapa firma ekuiti persendirian juga dilihat berminat untuk menyertai perjanjian untuk Twitter, kata New York Post.

Isnin lalu, Musk berkata, beliau tidak akan mengambil sesen pun gaji jika dilantik ke Lembaga Pengarah Twitter, secara tidak rasminya menjadi janji manis tawaran pengambilalihannya.

Putera Arab Saudi, Alwaleed bin Talal, pemegang saham besar Twitter, telah menyifatkan tawaran Musk sebanyak AS$54.20 (RM230.47) untuk saham syarikat itu berbanding harga dagangan pada Selasa sekitar AS$46.50 (RM197.73), sebagai nilai di bawah pasaran.

Lembaga Pengarah Twitter juga menolak tawaran.

-BERNAMA

Berita Harian X