Rabu, 20 April 2022 | 5:59pm
MN Holdings Bhd
MN Holdings Bhd

IPO MN Holdings terlebih langgan 118 kali

KUALA LUMPUR: Tawaran awam permulaan (IPO) MN Holdings Bhd untuk bahagian awam terlebih langganan sebanyak 118.48 kali.

Syarikat itu memberitahu bursa saham bahawa sebanyak 17,205 permohonan untuk 2.4 bilion saham baharu diterima daripada orang awam Malaysia.

Sebanyak 9,340 permohonan diterima untuk 919 juta saham baharu di bawah kategori Bumiputera, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 89.02 kali, manakala 7,865 permohonan diterima untuk 1.5 bilion saham baharu di bawah kategori awam Malaysia yang lain, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 147.94 kali.

Syarikat itu berkata, sejumlah 8.17 juta saham baharu tersedia untuk dimohon oleh pengarah dan pekerjanya yang layak, telah dilanggan sepenuhnya.

Terdapat juga tawaran untuk penjualan 40.87 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

MN Holdings, yang terbabit terutama dalam penyediaan perkhidmatan pembinaan utiliti infrastruktur dan penyelesaian dalam industri kuasa, gas, pembetungan dan telekomunikasi di Malaysia, dijadualkan disenarai di Pasaran ACE pada 28 April 2022.

Syarikat itu berkata, notis peruntukan akan dihantar melalui pos kepada pemohon yang berjaya pada atau sebelum 28 April.

M&A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk penyenaraian tersebut.

-BERNAMA

Berita Harian X