Rabu, 20 April 2022 | 11:47am
Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Farm Fresh, Mohd Khairul Mat Hassan dalam satu temubual di Serdang - NSTP/Eizairi Shamsudin
Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Farm Fresh, Mohd Khairul Mat Hassan dalam satu temubual di Serdang - NSTP/Eizairi Shamsudin

Farm Fresh pelawa buka kios Jom Cha

SERDANG: Farm Fresh Bhd merancang untuk mengukuhkan pendapatan pengedar kecil syarikat itu dengan memperkenalkan perniagaan kios minuman dikenali Jom Cha by Farm Fresh.

Ketua Pegawai Operasinya, Azmi Zainal, berkata konsep perniagaan baharu yang sedang melalui program rintis di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Bandar Baru Uda, Johor itu dibuka untuk semua usahawan berminat dengan 917 pengedar kecil syarikat perladangan tenusu bersepadu tempatan itu menjadi keutamaan.

Katanya, fasa pertama pelan pengembangan jenama Farm Fresh akan dilaksanakan menerusi penubuhan 50 kios Jom Cha by Farm Fresh di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

"Kami akan melancarkan jenama Jom Cha by Farm Fresh sekitar September ini dengan 20 hingga 30 kios seluruh negara dalam usaha meningkatkan pendapatan pengedar kecil, memperkasakan jenama kami dan meneroka perniagaan baharu.

"Kami akan membuka untuk semua usahawan berminat, namun pengedar kecil akan menjadi keutamaan, inisiatif syarikat untuk menghargai sokongan mereka yang banyak membantu melonjakkan jenama Farm Fresh selama ini," katanya dalam satu temubual bersama BH di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Farm Fresh, Mohd Khairul Mat Hassan.

Dua premis perintis Jom Cha by Farm Fresh sudah dibuka di UPM dan Bandar Baru Uda dengan menawarkan 14 unit simpanan stok (SKU) minuman teh bobba menggunakan produk tenusu jenama itu.

Produk minuman yang ditawarkan Jom Cha by Farm Fresh dijual pada harga bermula RM7.90.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, pembukaan kios Jom Cha by Farm Fresh membabitkan pelaburan bermula RM50,000 dengan setiap lokasi boleh dipilih sendiri pengedar kecil dan usahawan.

"Modal rendah ini adalah untuk membantu pengedar kecil menambah pendapatan selain menjual produk Farm Fresh. Inisiatif ini untuk membantu mereka yang banyak menyokong pertumbuhan perniagaan dan jenama Farm Fresh.

"Idea penubuhan kios ini hadir akhir tahun lalu bagi mengembangkan keupayaan jenama syarikat pada peringkat domestik," katanya.

Beliau menjelaskan, sebagai permulaan syarikat akan melipatgandakan usaha untuk membangunkan jenama Jom Cha by Farm Fresh sebelum menambah lebih banyak SKU untuk bersaing dengan jenama terkemuka lain.

"Fasa berikutnya, kami akan memperkenalkan mungkin pastri atau makanan lain yang sesuai untuk meningkatkan pilihan pengguna. Selepas jenama Jom Cha by Farm Fresh semakin kukuh, kami mencadangkan menjadi perniagaan ini sebagai francais," katanya.

Berita Harian X