Isnin, 18 April 2022 | 5:31pm
Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines - Foto Reuters
Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines - Foto Reuters

Malaysia Airlines tiada niat naikkan harga tambang

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd tidak berniat untuk menaikkan harga tambang sehingga menyulitkan pelanggan, terutama pada musim perayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail, berkata syarikat penerbangan seluruh dunia menetapkan harga tiket penerbangan secara dinamik, bergantung kepada permintaan dan bekalan, selain berdasarkan tarikh, masa dan ketersediaan tempoh duduk dalam satu-satu tempoh masa.

"Tambang akan diselaraskan dengan kesanggupan penumpang untuk membayar berikytan trend waktu kemuncak dan bermusim, selain persaingan dengan syarikat penerbangan lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, faktor muatan Malaysia Airlines pembelian penumpang bagi tiket kelas ekonomi berharga daripada RM139 hingga RM1,047 telah melepasi 90 peratus semasa tempoh perjalanan kemuncak yang ditawarkan dalam promosi lebih awal.

"Kami menggalakkan pelanggan untuk merancang perjalanan dan pembelian tiket semasa tempoh promosi ditawarkan Malaysia Airlines dari masa ke masa untuk memastikan mereka dapat mengoptimumkan pilihan bagi menikmati

'Malaysian Hospitality'.

"Malaysia Airlines sentiasa bekerjasama erat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan perjalanan yang selamat dan terjamin, susulan dakwaan baru-baru ini bahawa syarikat penerbangan mengenakan harga tambang yang tinggi semasa musim perayaan," katanya.

Malaysia Airlines akan menambah 20 kekerapan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu semasa tempoh perjalanan kemuncak bermula 28 April hingga 8 Mei 2022 bagi menampung lonjakan perjalanan domestik.

Dalam kenyataan sama, syarikat penerbangan nasional itu berkata, dengan kekerapan tambahan, lebih 7,000 tempat duduk disediakan, membolehkan tambang diselaraskan turun secara dinamik bagi membolehkan pelanggan menikmati harga yang rendah.

"Bagi meraikan sambutan Hari Raya, Malaysia Airlines akan menawarkan sehingga 20 peratus potongan tambang untuk semua destinasi domestik bagi tempahan dari 19 hingga 27 April 2022, bagi perjalanan segera hingga 31 Julai 2022.

"Penerbangan dari Kuala Lumpur akan bermula serendah RM139 semua dalam satu ke destinasi Semenanjung Malaysia, daripada RM209 ke iri, Bintulu, Kuching, Sibu, Sandakan serta daripada RM262 ke Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Labuan," katanya.

Berita Harian X