Khamis, 14 April 2022 | 4:17pm
Perasmian pembukaan cawangan Mercato Plaza Island di Pulau Pinang hari ini - Foto BERNAMA
Perasmian pembukaan cawangan Mercato Plaza Island di Pulau Pinang hari ini - Foto BERNAMA

Mercato rancang buka dua cawangan baharu tahun ini

GEORGE TOWN: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, pengendali pasar raya premium Mercato, merancang untuk membuka dua lagi cawangan baharu pasar raya itu tahun ini.

Ketua Operasi Cold Storage dan Mercato, John Gilbert, berkata dua cawangan baharu itu akan dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Johor Bahru, Johor.

"Ketika ini, kami ada enam cawangan Mercato termasuk yang terbaharu di Plaza Island, di sini, dan ia yang kedua di Pulau Pinang selepas Mercato Plaza Gurney. Mengikut perancangan dua lagi (cawangan) akan dibuka tahun ini.

"Semua pasar raya Mercato sekarang ini menampilkan pelbagai produk baharu yang lebih segar termasuk hasil tempatan dan luar negara," katanya kepada Bernama selepas Majlis Perasmian Pembukaan Mercato Plaza Island, di sini, hari ini.

Menurutnya, Mercato yakin dengan membawa produk, perkhidmatan, kemudahan dan nilai berkualiti tinggi kepada pelanggan akan membolehkan mereka mendapat pengalaman membeli-belah yang lebih sempurna terutama selepas melalui pandemik COVID-19.

Gilbert berkata, pihaknya juga sentiasa memahami keperluan pelanggan dengan memilih produk pilihan mereka dan menampilkan pengalaman premium di Mercato Plaza Island.

Katanya, Mercato juga mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pelanggan kerana jenamanya yang telah dikenali dan produk yang ditawarkan berkualiti.

"Kami bersedia untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada komuniti setempat dan berterima kasih terhadap semua sokongan yang diberikan oleh pelanggan dalam usaha kami selama ini," katanya.

Sempena pembukaan Mercato Plaza Island, pelanggan boleh menikmati promosi eksklusif di mana bagi 500 pelanggan pertama yang membuat pembelian minimum RM100 dalam satu resit akan diberi beg kitar semula eksklusif Mercato.

-BERNAMA

Berita Harian X