Rabu, 13 April 2022 | 7:57pm
Malindo Air
Malindo Air

Malindo sedia terbang semula ke Australia, India

KUALA LUMPUR: Malindo Air bersedia kembali terbang ke Australia dan India menerusi pengoperasian semula penerbangan antarabangsanya bermula 1 April lalu.

Malindo Air dalam satu kenyataan berkata, syarikat penerbangan itu akan kembali ke Melbourne dan Brisbane, Australia serta Mumbai dan Delhi pada Jun, manakala penerbangan ke Trichy, India sudah bermula sejak 1 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, berkata selain lima destinasi terbabit, Malindo telah kembali beroperasi ke Perth, Australia sejak 3 Mac lalu membabitkan kekerapan penerbangan empat kali seminggu.

Katanya, sejak 1 April lalu, Malindo telah terbang ke Trichy, Lahore (Pakistan); Kathmandu (Nepal); dan Dhaka (Bangladesh).

"Kami juga berbesar hati dapat memulakan semula perkhidmatan ke Australia dan India yang akan membolehkan keluarga bersatu semula selepas sekian lama berpisah akibat krisis COVID-19 dan sekatan perjalanan global.

"Untuk mengelakkan kesulitan, kami ingin mengingatkan semua penumpang untuk menyemak keperluan masuk dan keluar sebelum perjalanan mereka dengan sekatan perjalanan masih kekal di beberapa negara.

"Kami komited untuk meletakkan kesihatan dan keselamatan di barisan hadapan dalam perjalanan penumpang kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat penerbangan itu akan memulakan semula perkhidmatan ke Delhi (empat kali seminggu) dan Mumbai (tiga kali seminggu) masing-masing pada 1 Jun dan 2 Jun.

Menjelang 1 Ogos 2022, perkhidmatan ke kedua-dua bandar akan dipertingkatkan dengan penerbangan harian (tujuh kali seminggu).

Sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan masa depan, Malindo Air akan menambah laluan baharu ke empat bandar popular lain di India iaitu Kolkata, Bangalore, Amritsar dan Kochi.

Mushafiz berkata, banyak negara mula membuka semula sempadan dan sekatan perjalanan ditarik balik yang mana akan memudahkan perjalanan dan pergerakan kargo.

"Dengan banyak negara melonggarkan sempadannya untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong, kami juga telah mula meningkatkan jadual kami.

"Bagaimanapun, ia akan mengambil masa yang lebih lama sebelum permintaan penumpang meningkat dan pendapatan syarikat kembali menghampiri angka sebelum pandemik. Kami berharap keadaan akan pulih tidak lama lagi," katanya.

Berita Harian X