Rabu, 13 April 2022 | 6:43pm
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL, Bo Lingam; Chargé d'Affaires Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur, C Sushma dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat pada majlis pengumuman pengembangan laluan penerbangan ke India di Sepang, hari ini -NSTP/Hazreen Mohamad
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL, Bo Lingam; Chargé d'Affaires Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur, C Sushma dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat pada majlis pengumuman pengembangan laluan penerbangan ke India di Sepang, hari ini -NSTP/Hazreen Mohamad

AirAsia kembali terbang ke India

SEPANG: AirAsia Malaysia meneruskan langkah pemulihan dengan menyambung semula penerbangannya ke pelbagai destinasi utama di India bermula 1 April lalu, menandakan kembalinya operasi syarikat penerbangan tambang rendah di negara dengan penduduk kedua terbesar dunia itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat, berkata penyambungan operasi 30 penerbangan menjadi pencapaian penting AirAsia dalam usahanya kembali beroperasi di destinasi utama termasuk pasaran terpenting di India.

"Kami telah membuat persediaan rapi dari segi operasi untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan selesa kepada tetamu.

"Dengan pembukaan semula sempadan di seluruh rantau ini, AirAsia akan terus menyemak dan menambah destinasi dalam rangkaian yang terus berkembang untuk memenuhi permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat, termasuk 30 penerbangan mingguan dari Malaysia ke India, bakal dilancarkan menjelang akhir Mei.

"Tambahan pula, dengan 71 penerbangan mingguan yang akan dikendalikan menjelang akhir tahun 2022, AirAsia Malaysia akan kembali ke kapasiti sebelum COVID-19 tidak lama lagi, dengan lebih 140 perkhidmatan mingguan ke dan dari India," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pengumuman pengembangan laluan penerbangan ke India di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), Bo Lingam; dan Chargé d'Affaires Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur, C Sushma.

Bagi meraikan penyambungan semula 30 penerbangan mingguan ke India termasuk Bengaluru, Kolkata, Kochi, Hyderabad, Chennai dan Tiruchirappalli, AirAsia menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus kepada tetamu dan ejen pelancongan ke semua destinasi di India dari Malaysia melalui airasia Super App mulai hari ini hingga 1 Mei 2022.

Antara tawaran menarik lain termasuk daftar masuk bagasi 20 kilogram percuma untuk setiap tempahan dengan tetamu dan ejen pelancongan boleh membuat tempahan dengan menekan ikon 'Flights' di airasia Super App untuk tempoh perjalanan antara 1 Mei 2022 dan 25 Mac 2023.

Riad berkata, sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia dan perjalanan tanpa kuarantin untuk kedua-dua negara, ia akan memacu sektor pelancongan dan ekonomi negara seperti sebelum pandemik.

Justeru, katanya, AirAsia komited untuk mengekalkan standard keselamatan dan kebersihan tertinggi pada setiap masa untuk pelanggannya.

"Seluruh kakitangan kami sama ada di darat dan udara telah menerima vaksinasi lengkap dan bersedia untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia, memberikan pengalaman perjalanan terbaik dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat yang telah ditetapkan untuk keselamatan tetamu kami.

"Sebagai syarikat penerbangan, kami telah melaksanakan pelbagai langkah dan inovasi bagi memastikan semua tetamu AirAsia boleh melakukan perjalanan dengan selamat melalui langkah keselamatan dan kesihatan yang mantap seperti daftar masuk kendiri melalui airasia Super App, ciri pengecaman wajah melalui FACES dan banyak lagi," katanya.

Sementara itu, Sushma berkata beliau yakin trafik perjalanan udara antara Malaysia dan India akan kembali lancar dan berkembang secara progresif dengan pembukaan semula sempadan kedua-dua negara.

"Kerjasama ini menjadi satu langkah penting dalam mengeratkan lagi hubungan antara dua negara.

"AirAsia telah menawarkan penerbangan tambang rendah ke India sejak 2008, menghubungkan pengembara dari Kuala Lumpur ke pelbagai destinasi di India dan hari ini, kami amat mengalu-alukan penyambungan semula penerbangan komersial terus antara India dan Malaysia selepas dua tahun," katanya.

Berita Harian X