Isnin, 11 April 2022 | 12:34pm
Pengarah Urusan Yew Lee, Ang Lee Leong (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan Pembiayaan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan (tiga dari kiri) pada majlis memeterai perjanjian taja jamin hari ini - Foto ihsan Yew Lee
Pengarah Urusan Yew Lee, Ang Lee Leong (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan Pembiayaan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan (tiga dari kiri) pada majlis memeterai perjanjian taja jamin hari ini - Foto ihsan Yew Lee

Yew Lee bakal ke Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Yew Lee Pacific Group Bhd (Yew Lee) memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd untuk tawaran awam permulaan (IPO) syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

IPO pengeluar berus industri dan pedagang perkakasan perindustrian serta alat ganti mesin itu membabitkan terbitan awam sebanyak 133.1 juta saham dan tawaran jualan sebanyak 26.62 juta saham untuk pelabur terpilih.

Daripada terbitan awam, sebanyak 26.62 juta saham akan diperoleh secara permohonan oleh orang awam Malaysia menerusi cabutan undi dan 15.97 juta saham akan diperuntukkan untuk pengarah serta kakitangan layak.

Sementara itu, sebanyak 23.96 juta saham lagi diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan peruntukan 66.55 juta saham menerusi penempatan persendirian untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Di bawah perjanjian taja jamin itu, M&A Securities akan menaja jamin 42.59 juta saham daripada jumlah keseluruhan cadangan terbitan saham untuk orang awam Malaysia dan menerusi borang merah jambu.

M&A Securities juga akan menempatkan 90.51 juta terbitan saham kepada pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI.

Pengarah Urusan Yew Lee, Ang Lee Leong, berkata pihaknya gembira bekerja dengan M&A Securities bagi IPO syarikat dan perjanjian taja jamin ini menandakan peringkat pertama laluan menuju penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Securities.

"Penyenaraian ini akan membantu kami menjana modal yang diperlukan untuk pelan perluasan dan pada masa sama, meningkatkan keterampilan jenama di dalam industri berus industri," katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Pembiayaan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan, berkata firma pembrokeran itu gembira untuk memainkan peranan utama di dalam penyenaraian Yew Lee.

"Syarikat ini mempunyai pengalaman dan kepakaran teguh di dalam pengeluaran berus industri dengan sejarah yang bermula sejak awal 1990-an.

"Kami tidak ragu-ragu Yew Lee akan membangun lebih lagi dan berjaya menerusi penyenaraian ini," katanya.

Yew Lee mengeluarkan berus industri untuk pelbagai industri, merangkumi pembuatan sarung tangan, perindustrian, elektrik dan elektronik, penyedia pembersihan industri dan komersial selain pengeluar kayu dan gelas.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, pasaran Malaysia menyumbang 81.4 peratus daripada keseluruhan hasil Yew Lee, dengan Thailand menyumbang 6.7 peratus dan Vietnam pula 6.2 peratus.

Mengikut industri, pengeluar sarung tangan menyumbang 88 peratus kepada perolehan syarikat pada tahun kewangan 2020.

Berita Harian X