Ahad, 10 April 2022 | 12:51pm
Pemenang Cabutan Al-Awfar 2021 bergambar dengan replika cek dan kunci kereta yang dimenangi pada Majlis Penyampaian Hadiah Al-Awfar 2021 di Kuala Lumpur, baru-baru ini - Foto ihsan BIMB
Pemenang Cabutan Al-Awfar 2021 bergambar dengan replika cek dan kunci kereta yang dimenangi pada Majlis Penyampaian Hadiah Al-Awfar 2021 di Kuala Lumpur, baru-baru ini - Foto ihsan BIMB

BIMB umum empat jutawan baharu Al-Awfar

KUALA LUMPUR: Empat pemegang akaun pelaburan inovatif berasaskan konsep Mudarabah, Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB), Al-Awfar memenangi hadiah utama bernilai RM1 juta setiap seorang sempena Cabutan Al-Awfar 2021.

Mereka adalah Abdul Razak Mohd Noor; Ruth Anak Sibat; Mardianah Shahrun dan Ahmad Shafuan Mohammad.

Manakala, 10 pemenang Cabutan Khas yang lain masing-masing menerima sebuah kereta mewah terdiri daripada model Mercedes-Benz dan Mazda CX-5.

Ketua Pegawai Perniagaan Runcit BIMB, Mizan Masram, berkata sejak 2009, cabutan bertuah kempen Al-Awfar telah memberikan peluang kepada 34 orang menjadi jutawan dengan meraih hadiah utama bernilai RM1 juta setiap seorang.

Beliau berkata, bermula 2019, BIMB memberi peluang kepada lebih 10,000 pelanggan Al-Awfar untuk membawa pulang hadiah seperti kereta, pakej umrah atau percutian, wang tunai dan gajet.

"BIMB sentiasa berusaha untuk menyediakan penyelesaian kewangan lengkap inovatif dan relevan untuk pelanggan," katanya selepas majlis cabutan bertuah kempen Al-Awfar 2021 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebagai usaha untuk menggalakkan penyimpanan dan mempromosikan Al-Awfar pada tahun ini, BIMB memperkenalkan Kempen Elite 3.0 yang meningkatkan peluang kepada pelanggan Al-Awfar untuk memenangi hadiah menarik menerusi Cabutan Bulanan, Suku Tahun dan Separuh Tahun.

Kempen yang bermula 1 Mac lalu sehingga 31 Disember depan, katanya, akan memberi peluang kepada pelanggan yang layak untuk menerima Tambahan Unit Kelayakan (EU) mengikut jumlah pegangan selama 40 hari iaitu bagi RM10,000 hingga RM49,999.99 (lima EU), RM50,000 ke RM99,999.99 (tujuh EU) dan lebih RM100,000 (10 EU).

Selain itu, dari 1 Februari sehingga 31 Ogos 2022, Kempen Do It & Win IPT ditawarkan khusus untuk pelajar institusi pendidikan tinggi awam dan swasta yang membuka akaun Al-Awfar dalam tempoh terbabit.

Kempen ini menawarkan hadiah 50 Apple iPad dan 15 unit MacBook kepada pelanggan terpilih melalui cabutan yang disempurnakan setiap bulan.

Mizan berkata, Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengunjurkan saiz dana Al-Awfar akan melonjak sebanyak RM1.02 bilion pada tahun ini.

Beliau berkata, jumlah itu adalah berdasarkan kepada sasaran kira-kira 100,000 pemegang akaun baharu Al-Awfar.

Katanya, selepas 13 tahun berada di pasaran, Al-Awfar merekodkan saiz dana berjumlah hampir RM5.3 bilion menerusi 1.02 juta akaun.

"Sokongan pelanggan terhadap Al-Awfar adalah sangat memberangsangkan sejak diperkenalkan di pasaran pada 2009.

"Bagi 2021 sahaja, kami melihat pertumbuhan sebanyak 20 peratus bagi produk ini. Pada Mac 2022, Al-Awfar merekodkan pertambahan berjumlah hampir RM48.4 juta menerusi lebih 10,000 akaun.

"BIMB melihat terdapat perubahan dalam corak peningkatan dana, terutama semasa tempoh pandemik, apabila pelanggan kini semakin mempunyai kesedaran kewangan yang kukuh dan baik," katanya.

Berita Harian X