Isnin, 4 April 2022 | 8:24pm
Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet.
Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet.

Anak syarikat Iconic Worldwide diiktiraf SMETA patuh ESG

PULAU PINANG: Iconic Worldwide Bhd (Iconic Worldwide), syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang terbabit terutamanya dalam pelancongan, pembangunan hartanah dan pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE), mengumumkan anak syarikat milik penuhnya Iconic Medicare Sdn Bhd (Iconic Medicare) berjaya melepasi audit tanggungjawab alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) berlandaskan metodologi SMETA, yang dijalankan oleh firma audit antarabangsa pihak ketiga.

Audit Perdagangan Etika Ahli Sedex (SMETA), salah satu format audit etika yang paling meluas digunakan di dunia, dirangka berdasarkan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa, serta undang-undang tempatan yang berkaitan. Ia terdiri daripada modul seperti piawaian buruh, kesihatan dan keselamatan, sistem pengurusan, penilaian alam sekitar dan etika perniagaan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, Iconic Medicare telah disahkan secara rasmi untuk perniagaan pembuatan sarung tangan selepas melalui skop audit SMETA 4-teras. Pengauditan yang diadakan di kemudahan pembuatan PPEnya di Batu Kawan, Pulau Pinang, menilai sejauh mana perlindungan sosial pekerja dan merentasi sub-bahagian pengeluaran, perkhidmatan sokongan dan pentadbiran. Temu bual kolektif dan individu juga diadakan di semua peringkat kakitangan utama dan sokongan.

Pengarah Urusannya Datuk Tan Kean Tet berkata: "Walaupun tidak wajib, program audit SMETA adalah aktiviti yang kami secara sukarela sertai kerana ia adalah piawaian yang diiktiraf seluruh dunia tentang cara kami menjalankan perniagaan.

"Ini amat penting bagi kami sebagai peserta PPE yang agak baru, dan kami mempunyai kelebihan untuk menyelaraskan matlamat kami dengan matlamat jangka panjang masyarakat. Seperti yang dinyatakan dalam Matlamat Pembangunan Lestari PBB, kami menyasarkan untuk mencipta nilai mampan jangka panjang dengan memacu hasil positif untuk perniagaan, ekonomi, masyarakat dan planet ini.

"Oleh itu, kami berbesar hati menerima keputusan positif audit, yang membuktikan bukan sahaja kualiti pengeluaran yang tinggi tetapi juga tahap kelayakan tanggungjawab sosial syarikat kami."

Tambah beliau, ini pastinya akan memberikan keyakinan yang lebih besar kepada pelanggan Iconic Worldwide dalam pada kami berusaha untuk menembusi pasaran AS dan Eropah untuk perniagaan sarung tangan syarikat.

"Bagi 500 tenaga kerja kami yang terdiri sepenuhnya daripada penduduk tempatan, kumpulan telah bekerja tanpa jemu untuk merangka dan melaksanakan sistem yang menyokong serta mengekalkan kesejahteraan dan kesihatan pekerja secara keseluruhan," katanya.

Melangkah ke hadapan, syarikat akan terus memeriksa keadaan tempat kerja secara berkala dan memenuhi tugas kami sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, katanya.

Menyingkap kembali, pada 15 Januari 2022, Iconic Worldwide melalui anak syarikatnya Iconic Medicare Sdn Bhd melancarkan kilang pembuatan sarung tangan dan pelutup muka bernilai RM200 juta di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang.

Enam barisan bekas celupan sarung tangan berganda telah mula beroperasi di kilang itu, dengan enam lagi barisan celup sarung tangan dan 20 barisan pengeluaran topeng muka perubatan akan ditauliahkan dan dipasang menjelang akhir bulan ini.

Berita Harian X