Jumaat, 1 April 2022 | 2:58pm
Rangkaian pesawat AirAsia di klia2 - Foto AFP
Rangkaian pesawat AirAsia di klia2 - Foto AFP

Proses pemulihan perkhidmatan antarabangsa AirAsia bermula

SEPANG: Perkhidmatan antarabangsa AirAsia yang terjejas selama lebih dua tahun akibat pandemik memulakan pemulihannya dengan ketibaan 12 penerbangan antarabangsa dari lapan negara iaitu Kemboja, Vietnam, Indonesia, Singapura, Thailand, Bangladesh, Filipina dan India.

Sehubungan itu, faktor muatan penumpang AirAsia dijangka mencapai 95 peratus paras prapandemik menjelang akhir tahun ini dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa negara, yang bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata hari ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan ke arah pemulihan industri pelancongan di rantau ini.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerja keras untuk terus memulih dan merancakkan industri penerbangan.

Katanya, dari segi faktor muatan penumpang pada hari pertama pembukaan semula sempadan adalah memberangsangkan dengan mencecah hampir 60 peratus.

"Kami jangka dalam beberapa hari lagi faktor muatan akan meningkat dan dijangka mencapai paras prapandemik menjelang akhir tahun ini,
katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menyambut ketibaan pesawat antarabangsa AirAsia sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa negara di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (klia2), dekat sini, hari ini.

Riad berkata, pasukan AirAsia sama ada di darat dan udara telah lengkap vaksinasi serta bersedia untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia, sekali gus memberikan pengalaman perjalanan terbaik dan mengikut peraturan dan prosedur keselamatan yang ketat untuk ketenangan dan keselamatan penumpang.

Beliau berkata, sebagai syarikat penerbangan, AirAsia melaksanakan pelbagai langkah dan inovasi bagi memastikan semua penumpang boleh melakukan perjalanan dengan selamat melalui langkah keselamatan dan kesihatan yang mantap.

AirAsia berkata, penumpang dengan vaksinasi lengkap yang ingin melakukan perjalanan ke dan dari Malaysia mesti memenuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan dari negara asal masing-masing sebelum menempah penerbangan dan semasa ketibaan.

Syarikat penerbangan itu berkata, bagi meminimumkan sentuhan fizikal dan mengurangkan tempoh untuk prosedur  di lapangan terbang, tetamu AirAsia digalakkan untuk mendaftar masuk kendiri secara dalam talian melalui airasia Super App dan menggunakan kemudahan daftar masuk bagasi automatik.

Katanya, mulai hari ini hanya kumpulan penumpang tertentu sahaja akan diterima untuk daftar masuk melalui kaunter, antaranya warga emas berusia 70 tahun ke atas, tetamu kurang upaya yang memegang kad OKU yang sah, tetamu perseorangan bawah umur (12 hingga 16 tahun), tempahan berkumpulan untuk 10 tetamu atau lebih dan tetamu penerbangan sewa khas.

Berita Harian X