Isnin, 28 March 2022 | 2:05pm
(Gambar fail) Tan Sri Tony Fernandes. - BERNAMA
(Gambar fail) Tan Sri Tony Fernandes. - BERNAMA

Airasia perkenal pelan SUPER+

KUALA LUMPUR: Airasia Super App memperkenalkan pelan langganan SUPER+, cara yang lebih ideal untuk memanfaatkan ekosistem Airasia yang tersedia untuk pembelian di seluruh Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina secara serentak mulai hari ini hingga 2 April 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes, berkata pelan langganan SUPER+ baharu ini menawarkan pelbagai faedah menarik termasuk penebusan penerbangan tanpa had di semua syarikat penerbangan AirAsia (kod penerbangan AK, FD, QZ, Z2) di rantau ini, untuk destinasi domestik dan antarabangsa.

"SUPER+ juga menawarkan penghantaran percuma tanpa had untuk pesanan Airasia Food di seluruh negara dan lokasi di mana perkhidmatan itu tersedia. Ia juga menyediakan faedah perlindungan insurans sebelum berlepas COVID-19, selain pelanggan SUPER+ boleh menebus penerbangan mereka dari 28 Mac 2022 hingga 27 Mac 2023 untuk tempoh perjalanan antara 11 April 2022 dan 10 April 2023.

"Selain itu, pelanggan akan dapat menikmati faedah yang lebih banyak daripada seluruh ekosistem Airasia yang akan ditambah sebagai sebahagian daripada pelan langganan ini termasuk diskaun untuk Airasia Ride, Airasia Xpress, SNAP, hotel dan banyak lagi," katanya ketika majlis pelancaran maya SUPER+ hari ini.

Yang turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Super App, Amanda Woo.

Airasia Super App menawarkan pelan langganan SUPER+ berharga RM639 di Malaysia, 4,999 baht di Thailand, 2,300,000 rupiah di Indonesia dan 6,599 peso di Filipina.

Ia boleh dibeli di Airasia Super App dengan menekan ikon SUPER+.

Sementara itu, Woo berkata, pelanggan digalakkan untuk merebut peluang keemasan memandangkan hanya terdapat sejumlah 200,000 pelan langganan SUPER+ yang tersedia di seluruh empat negara untuk masa terhad sahaja mulai hari ini hingga 2 April 2022.

"Kini pelanggan akan menikmati pengalaman airasia Super App serta lebih banyak lagi dengan pelan langganan SUPER+. Ini sememangnya cara yang lebih ideal untuk memanfaatkan ekosistem Airasia kerana ia membolehkan pelanggan terbang ke mana-mana sahaja, menikmati lebih penjimatan dan pelbagai ganjaran.

"SUPER+ ialah satu-satunya produk seumpamanya di ASEAN yang menawarkan manfaat perjalanan dan gaya hidup untuk semua," katanya.

Beliau menjelaskan, pelan langganan SUPER+ memberikan nilai terbaik kerana Airasia Food kini tersedia di seluruh Lembah Klang, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Ipoh, Kota Bharu, Kuching dan Miri dengan lebih banyak bandar yang akan dilancarkan akan datang.

Berita Harian X