Rabu, 23 March 2022 | 9:59am
Datuk Jovian Mandagie (kanan) pada pertunjukan fesyen Cheetah di Kuala Lumpur - Foto ihsan Cheetah Malaysia
Datuk Jovian Mandagie (kanan) pada pertunjukan fesyen Cheetah di Kuala Lumpur - Foto ihsan Cheetah Malaysia

Cheetah tampil koleksi fesyen pertama rekaan Jovian Mandagie

KUALA LUMPUR: Cheetah Malaysia malam tadi memperkenalkan koleksi terbaharu berinspirasikan sukan tenis, pertunjukan fesyen pertama oleh Datuk Jovian Mandagie sebagai pengarah syarikat itu.

Koleksi itu menandakan permulaan baharu dalam arah reka bentuk Cheetah dalam usahanya memperbaharui koleksi pakaian yang berkonsepkan lebih segar, sesuai dengan trend 'fast fashion' terkini.

Ini juga adalah pertunjukan fesyen Cheetah yang pertama sejak 1989 dan dijangka menjadi salah satu pertunjukan fesyen terbesar di Malaysia.

Dengan 70 orang model di pentas peragaan, koleksi ini menampilkan ciri-ciri berinspirasikan daripada gaya dan suasana dari Kejohanan Wimbledon.

Dihasilkan khas oleh Jovian sendiri, koleksi ini menunjukkan minat Cheetah dalam menumpukan usaha mendekati golongan bandar dan terus menarik minat pelanggan sedia ada dan segmen pasaran yang

berpotensi.

Di acara itu, Jovian mengenang kembali memori zaman kanak-kanak beliau memakai pakaian Cheetah untuk aktiviti sekolah yang seterusnya menjadi inspirasinya menghasilkan koleksi ini.

"Koleksi pertama Cheetah saya sangat sentimental. Ia mengimbau kembali kenangan 28 tahun yang lalu, di mana ibu saya membelikan

pakaian Cheetah yang pertama untuk kelas Pendidikan Jasmani (PJ).

"Saya berasa sangat seronok memakai pakaian berjenama buat kali pertama dan saya masih ingat lagi berasa sangat bangga memakai Cheetah pada ketika itu," katanya.

Jovian berkata, peluang yang diberikan untuk mereka bentuk seluruh koleksi pakaian bersama Cheetah adalah satu penghormatan kepadanya.

"Kami bekerja keras menghasilkan koleksi ini demi memastikan ia mencapai tahap kesempurnaan yang disasarkan, terutama buat

golongan 'millennial'.

"Melalui koleksi ini juga, kami ingin meningkatkan semangat 'menyokong jenama tempatan' supaya lebih ramai orang menyedari bahawa kita sebenarnya mempunyai banyak jenama yang hebat di negara ini untuk dibanggakan," katanya.

Fesyen 90-an menyaksikan kemunculan daripada era 'glamazon' yang menampilkan ciri-ciri sederhana dan jenama pakaian mampu milik yang menjadi ikutan ramai golongan, terutama golongan muda.

Pengguna menggemari kombinasi fesyen pakaian sukan dan jalanan di mana ia berubah menjadi gaya 'athleisure' pada hari ini.

Dengan kepercayaan yang kuat bahawa pendekatan ini malar dan sentiasa relevan dengan gaya hidup semasa, Cheetah merealisasikan idea berkenaan serta menterjemahkannya dalam koleksi ini.

Berita Harian X