Selasa, 22 March 2022 | 3:11pm
Tenaga Nasional Bhd (TNB)
Tenaga Nasional Bhd (TNB)

TNB sedia RM43 juta untuk program Reskilling Malaysia

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperuntukkan sehingga RM43 juta bagi menjayakan program TNB Reskilling Malaysia (TRM) yang diperkenalkan untuk menyokong pemulihan sosio-ekonomi negara kesan daripada pandemik COVID-19.

Ketua Pengurusan Pejabat Projek TRM, Ir Yeoh Chien Wern, berkata TRM yang diperkenalkan pada Jun 2020, bertujuan mempercepatkan proses pengambilan kerja bagi syarikat tempatan yang ingin mengisi kekosongan jawatan sedia ada.

Katanya, TNB akan menyediakan perkhidmatan pengambilan pekerjaan bagi pihak syarikat dan ini membantu perniagaan menjimatkan kos, meningkatkan kualiti pengambilan pekerja dan mengurangkan pusing ganti pekerja.

"Program ini dijangka mampu mengisi sehingga 17,500 kekosongan pekerjaan menjelang 2024 dan kami menyasarkan kira-kira 5,000 padanan kerja dan 'resklilling' setiap tahun.

"Secara keseluruhan, 9,202 pekerja dan 3,225 majikan telah memohon untuk menyertai program ini. Setakat November 2021, seramai 1,814 pekerja sudah menamatkan latihan mereka dan 3,246 berjaya mendapatkan pekerjaan melalui proses pemadanan pekerjaan.

"Pada 2021 saja, seramai 2,804 berjaya mendapatkan pekerjaan melalui proses pemadanan," katanya pada taklimat media inisiatif TRM secara maya di sini, hari ini.

Menurutnya, TNB memberi komitmen sebanyak RM43 juta untuk membiayai sebahagian program ini yang termasuk kos latihan dan pengubahsuaian sebahagian kampus Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Muadzam Shah TNB menjadi pusat kemahiran semula dalam mengembangkan inisiatif ini.

Program TRM itu adalah terbuka untuk semua rakyat Malaysia yang berumur dari 18 tahun ke atas.

Chien Wern berkata, semua rakyat Malaysia, terutama graduan baharu, lepasan sekolah atau pekerja yang diberhentikan boleh memohon untuk program ini.

"Bagi latihan kemahiran semula tempoh latihan antara lima ke 10 hari dan latihan berlangsung di ILSAS, anak syarikat milik penuh TNB yang dilantik sebagai penyelaras program dan penyedia latihan," katanya.

Terdapat lima kursus utama yang disediakan iaitu Program Pemasang Panel Suria, Program Pemasangan Meter Pintar, Operasi dan Penyelenggaraan Sistem Kuasa, Kemudahan Elektrik Voltan Sederhana dan Kemudahan Elektrik Voltan Rendah.

Program yang ada juga boleh disesuaikan mengikut keperluan majikan dan majikan serta bakal pekerja boleh mendaftar melalui laman web TNB ILSAS untuk menyertainya.

Berita Harian X