Jumaat, 18 March 2022 | 1:03pm
PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) - Foto hiasan
PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) - Foto hiasan

PCG rancang bina kemudahan pengasingan sisa

KUALA LUMPUR: PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) dan One Biosys Sdn Bhd bagi pembekalan sisa plastik dari tapak pelupusan sampah serta penilaian potensi kerjasama untuk membina kemudahan pengasingan sisa di Malaysia.

MoU itu antara lain menyaksikan KDEBWM dan One Biosys akan membekalkan sisa plastik yang terdiri daripada polietilena (PE), polipropilena (PP) serta polietilena terephthalate (PET) kepada PCG untuk pengeluaran produk sirkular bagi pembungkusan makanan serta aplikasi dalam penjagaan kesihatan, isi rumah dan perindustrian.

Ia juga merangkumi kajian kebolehlaksanaan bersama bagi menilai daya maju komersial pembinaan kemudahan pengasingan sisa di Malaysia untuk memastikan pengasingan sisa plastik yang lebih berkesan.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof, berkata peralihan kepada ekonomi pekeliling memerlukan penyelesaian baharu untuk menangani jurang dalam rantaian nilai plastik, daripada pengurusan sisa yang lebih baik kepada meningkatkan daya maju ekonomi penyelesaian kitar semula.

"Kerjasama ini adalah langkah seterusnya bagi kami merealisasikan aspirasi untuk menjadi rakan penyelesaian dalam menangani pencemaran plastik di Malaysia selepas memeterai kerjasama dengan Plastic Energy Ltd pada 2019 bagi mewujudkan kemudahan menukar sisa plastik campuran yang tercemar, berkualiti rendah kepada minyak pirolisis.

"Dengan MOU ini, kami dapat mempercepatkan lagi inisiatif ke arah ekonomi pekeliling dalam memastikan penggunaan dan pengeluaran plastik yang mampan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memeterai MoU itu bagi pihak PCG, manakala KDEBWM diwakili oleh Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir dan One Biosys oleh Pengarah Eksekutifnya, Dr Muhammad Yani.

Sementara itu, Ramli berkata, KDEBWM sentiasa terbuka kepada kerjasama yang akan menyumbang secara mampan kepada ekonomi dan alam sekitar.

"Kami berbangga untuk bekerjasama dengan PCG, sebuah anak syarikat PETRONAS bagi inisiatif yang diharap akan menjadi tunggak kepada ekonomi pekeliling di Malaysia," katanya.

KDEBWM adalah anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) yang diamanahkan untuk menguruskan kutipan sisa domestik, pembersihan awam dan sisa pukal di sektor industri, komersial dan institusi serta pembersihan taman awam dengan menguruskan 12 majlis perbandaran sekitar Selangor.

Sementara itu, One Biosys adalah syarikat tempatan dengan kepakaran dalam bidang persekitaran-eko khususnya kepada pemulihan dan kejuruteraan bahan melalui sistem mikrobiologi dan teknologi nano, produk dan perkhidmatan kejuruteraan ekosistem.

Teknologi itu membolehkan pemisahan hampir semua jenis bahan sisa organik campuran heterogen dan efluen, daripada sisa segar dan sisa warisan di tapak pelupusan sampah, sisa pertanian, bahan larut lesap (leachate) dan biopepejal kepada produk berharga seperti mineral organik yang sesuai digunakan untuk pertanian serta bahan boleh kitar semula campuran kering.

Berita Harian X