Rabu, 16 March 2022 | 3:27pm
Scientex Bhd
Scientex Bhd

Scientex catat keuntungan lebih rendah

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Scientex Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2022 susut kepada RM93.69 juta daripada RM112.17 juta pada suku kedua 2021.

Pendapatan bagaimanapun meningkat kepada RM952 juta daripada RM906.54 juta sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Dalam kenyataan berasingan, kumpulan itu berkata keuntungan lebih rendah terutama disebabkan impak harga bahan mentah dan kos fret lebih tinggi bagi perniagaan pembungkusan pengguna selain penangguhan pengeluaran Sijil Penyiapan dan Pematuhan bagi pembangunan tertentu.

"Segmen hartanah berdepan kos bahan mentah lebih tinggi dan kekurangan bahan, selain perubahan dalam beberapa proses permohonan kawal selia tertentu, yang menjejaskan sementara kecekapan operasi kami.

"Bagaimanapun, permintaan bagi rumah mampu milik kekal tinggi dan kami terus berkembang ke lokasi baharu dengan pelancaran sulung kediaman bertanah di Negeri Sembilan dan Kedah, bersama pembangunan bertingkat pertama di Lembah Klang pada separuh kedua tahun kewangan 2022," kata Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin.

Menuju ke hadapan, beliau berkata pembukaan semula perniagaan dan aktiviti ekonomi bertambah baik di Malaysia serta antarabangsa adalah sesuatu yang baik buat kumpulan.

"Kami melihat permintaan yang stabil bagi produk pembungkusan dan akan terus mengembangkan kapasiti di bahagian yang mempunyai kekuatan kompetitif, selain meneruskan inovasi merentasi pelbagai kategori untuk mengukuhkan lagi kedudukan pasaran.

"Ini termasuk meneruskan pembangunan penyelesaian pembungkusan mampan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, terutama dalam kalangan jenama pengguna," katanya.

Scientex turut menambah baik pelan kelangsungan perniagaan bagi mengurangkan risiko gangguan operasi, selain mendapatkan kepercayaan pelanggan global yang bergantung kepada komitmen rantaian bekalan.

"Kami berharap dapat memenuhi keperluan yang tinggi terhadap rumah mampu milik berdasarkan ekonomi yang semakin pulih dan kadar vaksinasi yang tinggi.

"Langkah menambah simpanan tanah dalam tempoh beberapa tahun ini meletakkan kami pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pemulihan ekonomi pasca pandemik, selain turut memanfaatkan penggunaan platform digital untuk meningkatkan keberkesanan jualan dan pemasaran," katanya.

Berita Harian X