Rabu, 16 March 2022 | 1:15pm
Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo; Presiden Digital dan Komersial Capital A, Colin Currie; dan Ketua Pegawai Eksekutif airasia ride, Lim Chiew Shan pada majlis pelancaran perkhidmatan Pemandu Komuniti di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Aziah Azmee
Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo; Presiden Digital dan Komersial Capital A, Colin Currie; dan Ketua Pegawai Eksekutif airasia ride, Lim Chiew Shan pada majlis pelancaran perkhidmatan Pemandu Komuniti di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Aziah Azmee

airasia ride sedia pilihan khidmat pemandu wanita

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan seru pandu atau 'e-hailing' airasia Super App, airasia ride memperkenalkan pilihan pemandu wanita dikenali sebagai LadiesONLY untuk pelanggan wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia ride, Lim Chiew Shan, berkata ciri LadiesONLY akan memberikan pilihan kepada penumpang wanita untuk memilih pemandu wanita bagi perjalanan yang lebih selesa.

Katanya, pelancaran LadiesONLY ini juga adalah permulaan kepada ciri Pemandu Komuniti yang akan dikembangkan tidak lama lagi.

"Ciri Pemandu Komuniti kami menawarkan kelainan baharu dalam perjalanan harian anda.

"Sama ada ingin melakukan perjalanan segera, menikmati perjalanan yang jauh untuk ke pejabat, memerlukan seseorang untuk memandu kenderaan anda atau ingin menikmati perjalanan yang lebih tenang, semuanya tersedia di airasia ride.

"Pelbagai ciri menarik baharu pada airasia Super App akan disediakan tidak lama lagi apabila menempah perjalanan dengan airasia ride," katanya selepas pelancaran LadiesONLY di sini, hari ini.

airasia ride ketika ini mempunyai 500 pemandu wanita yang disasarkan untuk meningkat kepada 5,000 pemandu tahun ini.

Chiew Shan berkata, airasia ride juga akan menaja pemandu wanita yang ingin menyertai syarikat itu buat kali pertama tanpa pengalaman dalam bidang seru pandu atau tidak memiliki lesen perkhidmatan sedemikian.

Katanya, airasia ride menawarkan faedah eksklusif bernilai sehingga RM400 seperti pengecualian yuran untuk kursus pembelajaran dan ujian PSV serta pemeriksaan perubatan percuma.

"Pemandu wanita aktif dan baharu juga akan menerima kamera dalam kenderaan percuma, tertakluk kepada terma dan syarat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo, berkata kumpulan sentiasa berinovasi untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan pengalaman yang diperibadikan untuk pengguna airasia Super App, pemandu dan rakan penghantar.

Katanya, kumpulan yakin ciri Pemandu Komuniti, bermula dengan ciri LadiesONLY akan menarik minat pengguna sedia ada airasia ride dan menarik lebih ramai pengguna baharu.

"Malah, kumpulan juga sentiasa memperkasakan pemandu dengan memberikan 85 peratus daripada tambang bersih (tidak termasuk caj tol) sebagai bayaran kepada pemandu.

"Ia lebih tinggi daripada perkhidmatan seru pandu lain di pasaran, menjadikannya pilihan pekerjaan sambilan dan peluang menjana pendapatan sampingan yang berdaya maju.

"Tambang untuk perjalanan airasia ditetapkan berdasarkan harga yang berpatutan, mengambil kira kemampuan penumpang, di samping mengimbangi masa perjalanan tambahan berikutan kesesakan trafik," katanya.

Berita Harian X