Isnin, 14 March 2022 | 2:26pm
Ismail Sabri (tengah); Tengku Zafrul (tiga kiri) dan Azmin Ali (tiga kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Ir Baharin Din (dua kiri) dan Azman Ismail (kanan) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 Mac 2022. Turut hadir Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir (dua kanan) dan Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood (kiri). - Foto TNB
Ismail Sabri (tengah); Tengku Zafrul (tiga kiri) dan Azmin Ali (tiga kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Ir Baharin Din (dua kiri) dan Azman Ismail (kanan) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 Mac 2022. Turut hadir Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir (dua kanan) dan Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood (kiri). - Foto TNB

TNB, PLUS kurangkan pelepasan karbon di lebuh raya

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjalin kerjasama dengan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bagi program mengurangkan pelepasan di lebuh raya, seiring dengan komitmen kerajaan menuju pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama memastikan pengurangan pelepasan karbon di lebuh raya PLUS melalui tiga inisiatif kelestarian iaitu membangunkan rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik, pemasangan sistem pemantauan kecekapan tenaga dan pemasangan sistem solar fotovoltaik di bangunan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang terpilih.

 

"Melalui kerjasama itu, rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik akan dipasang di R&R terpilih dan berpotensi tinggi di sepanjang jajaran lebuh raya PLUS.

"Sistem pemantauan kecekapan tenaga dan system solar fotovoltaik akan dipasang pada bumbung bangunan R&R Ayer Keroh (arah utara) dan R&R Tapah (arah utara) dengan jumlah kapasiti lebih 360 kWp," katanya.

TNB dan PLUS memenuhi komitmen kerajaan menuju pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 - Foto BERNAMA
TNB dan PLUS memenuhi komitmen kerajaan menuju pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 - Foto BERNAMA

Memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara TNB dan PLUS itu baru-baru ini disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, berkata TNB akan menyediakan bekalan elektrik berdaya harap dan stabil kepada ekosistem pengecasan EV yang dipersetujui bersama kedua-dua pihak.

Beliau berkata, TNB juga menawarkan penyelesaian kepada PLUS yang boleh mengoptimumkan kos elektrik dan menyokong sumber tenaga hijau dan mampan dalam mengurangkan pelepasan karbon.

 

"Tiga inisiatif di bawah MoU itu akan mengurangkan pelepasan karbon serta menyokong penggunaan tenaga hijau selain mengoptimumkan penggunaan tenaga elektrik dalam operasi perniagaan bagi meningkatkan lagi komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi memperbanyakkan lagi rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik demi memastikan perjalanan pelanggan yang menggunakan kenderaan elektrik lebih lancar, selamat dan selesa khususnya di sepanjang lebuh raya PLUS.

Beliau berkata, inisiatif itu mengukuhkan komitmen PLUS dalam menerajui industri selaku pengendali lebuh raya yang peka terhadap kelestarian alam sekitar.

Berita Harian X