Khamis, 10 March 2022 | 1:29pm
Pasar raya besar Mydin Tunjong di Kota Bahru - Foto BERNAMA
Pasar raya besar Mydin Tunjong di Kota Bahru - Foto BERNAMA

Mydin Tunjong sasar jualan RM15 juta sebulan

KOTA BAHRU: Rangkaian pemborong dan peruncit halal, Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) menyasarkan hasil jualan cawangan baharunya, Mydin Tunjong di sini melebihi RM15 juta sebulan selain menyediakan 400 peluang perniagaan kepada penduduk tempatan.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata pembukaan cawangan ke-67 itu juga dapat menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk di Kelantan, sekali gus membantu peniaga serta masyarakat mendapatkan barangan dengan harga borong yang berpatutan dan berbaloi.

"Di sebalik kemelut ekonomi tidak menentu ekoran pandemik COVID-19 yang berpanjangan, Mydin mengambil langkah berani membantu 'Keluarga Malaysia' dengan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan.

"Dengan pembukaan cawangan ini juga, ekonomi penduduk setempat dan negeri dijangka menerima impak positif terutamanya apabila negara membuka sektor ekonomi sepenuhnya selepas melalui tempoh panjang Pelan Pemulihan Negara akibat pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian cawangan berkenaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus, hari ini.

Mengulas lanjut, Ameer Ali berkata antara keunikan Mydin Tunjong adalah ia mengetengahkan hasil produk keluaran usahawan tempatan seperti pakaian, makanan, hasil kraf tangan dan sebagainya, selain pembeli berpeluang mendapatkan barangan dengan harga borong dan kompetitif.

"Pasar raya tiga tingkat ini berkeluasan hampir satu juta kaki persegi dan menelan kos hampir RM250 juta," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X