Khamis, 10 March 2022 | 11:00am
Sarung tangan keluaran Mah Sing Healthcare
Sarung tangan keluaran Mah Sing Healthcare

Sarung tangan Mah Sing Healthcare diiktiraf di UK

KUALA LUMPUR: Mah Sing Healthcare Sdn Bhd memperoleh Persijilan PPE UKCA Kategori III bagi sarung tangan nitril keluarannya.

UKCA adalah penandaan produk baharu United Kingdom (UK) bagi barangan yang dijual di Great Britain (England, Wales dan Scotland).

Unit penjagaan kesihatan Mah Sing Group Bhd itu berkata, persijilan dikeluarkan oleh Satra Technology, sebuah badan diluluskan yang melaksanakan penilaian pematuhan.

Ia berkata, Satra Technology sebelum ini mengeluarkan Persijilan PPE EU Kategori III kepadanya, meliputi pasaran Kesatuan Eropah (EU).

Jelasnya, Kategori III PPE (peralatan perlindungan peribadi) menunjukkan bahawa produk itu lulus ujian paling ketat termasuk perlindungan terhadap virus, bakteria dan mikro-organisme lain, ujian resapan, degradasi dan rintangan terhadap penembusan.

"Ia menunjukkan bahawa sarung tangan itu akan melindungi daripada ancaman berbahaya atau kerosakan kepada risiko kesihatan. Contoh PPE Kategori III adalah sarung tangan perubatan yang boleh melindungi daripada bahan kimia.

"Sarung tangan seperti ini digunakan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan, pergigian, diagnostik dan prosedur terapi, selain kerja makmal," katanya dalam satu kenyataan.

Mah Sing Healthcare berkata, dengan persijilan itu, ia akan dapat menyasarkan kumpulan pembeli lebih besar yang memerlukan tahap jaminan kualiti tinggi, antaranya peserta perubatan utama di UK dan Eropah.

Katanya, kilang sarung tangan Mah Sing Healthcare sudah menyiapkan pentauliahan semua 12 barisan pengeluaran dan menerima persijilan diperlukan bagi memasarkan sarung tangan gred perubatan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Kanada, EU dan Kawasan Ekonomi Eropah (EEA).

"Dengan pasukan jualan lebih mantap dan capaian geografi lebih meluas, Mah Sing Healthcare berada dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan berterusan sarung tangan," katanya.

Kilang sarung tangan Mah Sing Healthcare adalah kemudahan berautomasi tinggi untuk meningkatkan kecekapan kos.

Menuju ke hadapan, Mah Sing berazam untuk mengeluarkan produk berkualiti tinggi sambil mengekalkan kecekapan, profesionalisme dan perkhidmatan berintegriti kepada pengimport, pengedar serta pelanggannya.

Berita Harian X