Rabu, 9 March 2022 | 1:55pm
Top Glove Corporation Bhd - Foto Reuters
Top Glove Corporation Bhd - Foto Reuters

Keuntungan, jualan Top Glove susut mendadak

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) pada suku kedua berakhir 28 Februari 2022 merosot kepada RM102 juta berbanding RM2.9 bilion yang diraih dalam tempoh sama tahun kewangan 2021.

Pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu meraih pendapatan jualan lebih rendah RM1.45 bilion berbanding RM5.37 bilion yang dicatatkan suku sama tahun sebelumnya.

Bagi tempoh enam bulan, pendapatan Top Glove menurun kepada RM3.03 bilion daripada RM10.12 bilion yang diperoleh pada tahun kewangan 2021, manakala keuntungan bersih juga susut kepada RM305 juta dari RM5.29 bilion.

Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow, berkata keputusan kewangan bagi suku dikaji menggambarkan pertumbuhan volum yang stabil walaupun landskap perniagaan mencabar, ketika industri beralih ke peringkat endemik.

"Prestasi kewangan yang sederhana ini disebabkan oleh penormalan harga jualan purata (ASP) yang semakin hampir ke peringkat sebelum pandemik.

"Kos bahan mentah berada dalam aliran menurun, ia berkurangan pada kadar yang lebih perlahan daripada ASP, mengakibatkan mampatan margin.

"Kumpulan juga terpaksa berhadapan dengan kenaikan kos operasi termasuk utiliti, tenaga kerja dan kos kimia, malah persaingan yang semakin tegang, dengan bekalan sarung tangan baharu turut menyebabkan tekanan harga, berikutan kejayaan pelaksanaan pemvaksinan COVID-19 di seluruh dunia," katanya.

Kim Meow berkata, meskipun prestasi kewangan suku dikaji sederhana, kumpulan masih mengatasi prestasi kewangan sebelum pandemik.

Beliau menegaskan, kumpulan sudah menjangkakan pelarasan ini dan bersedia untuk menghadapi tempoh yang lebih mencabar dalam peralihan ke senario 'norma lama'.

"Walaupun menghadapi cabaran pada suku kedua, jumlah jualan menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding dengan suku sebelumnya berikutan dengan penyambungan aktiviti pengisian semula stok sarung tangan oleh pelanggan dan ASP yang menghampiri peringkat sebelum pandemik.

"Selain itu, jualan Top Glove ke Amerika Syarikat (AS) sedang menuju ke arah pemulihan sejak September 2021, dengan jumlah jualan ke pasaran AS Syarikat meningkat mendadak sebanyak 220 peratus setakat ini," katanya.

Pada September 2021, jualan ke AS merangkumi 4.0 peratus daripada jumlah jualan global kumpulan dan menjelang Februari 2022, jualan ke negara berkenaan meningkat untuk menyumbang 13 peratus kepada jumlah jualan global Top Glove.

Selaras dengan itu, beliau menjelaskan, penggunaan pengeluaran kumpulan meningkat daripada 60 peratus pada September 2021 kepada 73 peratus pada Februari 2022.

"Sejak dua tahun lalu, kami sudah terbiasa untuk menyampaikan keputusan kewangan yang luar biasa. Walaupun keputusan suku kedua ini tidak sekukuh yang diharapkan, ini adalah dalam jangkaan kami apabila pandemik surut dan ia sebahagian kitaran perniagaan.

"Selepas berada dalam perniagaan sarung tangan selama 31 tahun, kami sudah melihat banyak kitaran seperti ini dan pengalaman membuatkan kami bersedia dengan baik," katanya.

Pada 28 Februari 2022, Top Glove mengekalkan kedudukan tunai bersih RM656 juta dan aset bersih RM6.95 bilion.

Mengulas lanjut, Kim Meow berkata, kumpulan akan tetap berwaspada dan mengurangkan rancangan pengembangannya untuk sementara waktu berikutan situasi bekalan semasa.

Berita Harian X