Khamis, 3 March 2022 | 7:49pm
Pengerusi AmBank, Tan Sri Azman Hashim
Pengerusi AmBank, Tan Sri Azman Hashim

Pengerusi AmBank terima anugerah Maharaja Jepun

KUALA LUMPUR: Pengerusi AMMB Holdings Bhd (AmBank), Tan Sri Azman Hashim dianugerahkan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Jepun.

Duta Besar Jepun Takahashi Katsuhiko berkata kerajaan Jepun amat menghargai dedikasi dan sokongan padu Azman ke arah memperkaya persahabatan yang berpanjangan dan ikatan padu antara kedua-dua negara dan rakyat.

"Kami gembira kerana majlis penganugerahan ini adalah salah satu acara penting untuk memulakan tahun peringatan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP).

"Ini adalah anugerah kedua Azman daripada Maharaja Jepun selepas dianugerahkan The Order of the Rising Sun pada 1987," kata beliau dalam ucapannya di majlis pengurniaan darjah kebesaran yang diadakan pada Rabu.

Katsuhiko berkata, Azman ialah ahli perniagaan terkemuka dan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA).

Persatuan itu menggalakkan hubungan ekonomi yang lebih erat antara sektor swasta Malaysia dan Jepun dan mengadakan persidangan tahunan bersama dengan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (JAMECA).

Di bawah kepimpinan Azman, MAJECA menganjurkan beberapa webinar dengan kerjasama JAMECA untuk memastikan komunikasi dan perbincangan berterusan antara sektor swasta kedua-dua negara walaupun semasa era pandemik, kata Katsuhiko.

"

Azman juga memberi sumbangan besar dalam mengeratkan lagi hubungan perdagangan antara Jepun dan Malaysia.

"Memandangkan beliau mempunyai keyakinan besar bahawa Perjanjian Perkongsian Ekonomi (EPA) Jepun-Malaysia akan menggalakkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, beliau memohon dengan bersungguh-sungguh supaya kerajaan Malaysia memuktamadkan EPA.

"Hasilnya, EPA berkuat kuasa pada Jun 2006 dan EPA dua hala pertama untuk Malaysia menyumbang dengan ketara bagi meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara," katanya.

Katsuhiko menambah, Azman juga penyokong kuat LEP dan pada ulang tahun ke-30 LEP pada 2012, Azman mengambil inisiatif untuk menjadi tuan rumah perbincangan meja bulat bagi menggiatkan semula LEP dalam mengukuhkan lagi hubungan ekonomi Jepun-Malaysia.

-BERNAMA

Berita Harian X