Rabu, 2 March 2022 | 9:05pm
Petronas Gas Bhd (PGB)
Petronas Gas Bhd (PGB)

Petronas Gas dapat kelulusan tarif IBR baharu

KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd (PGB) mendapat kelulusan kerajaan bagi Tarif Peraturan Berasaskan Insentif (Tarif IBR) yang diselaraskan bagi tempoh kawal selia pertama (RP1) untuk kemudahan Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) di bawah kumpulan syarikatnya.

"Tarif IBR RP1 yang diselaraskan sebanyak RM1.128/Giga Joule (GJ)/hari daripada RM1.129/GJ/ berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022 dan disiarkan di laman web PGB," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

PGB berkata, kelulusan itu diterima melalui Suruhanjaya Tenaga melalui suratnya bertarikh 23 Februari 2022.

Pelarasan Tarif IBR PGU itu adalah proses tahunan di bawah rangka kerja IBR untuk mengambil kira perolehan tambahan yang diterima pada tahun sebelumnya berbanding perolehan yang diluluskan pada permulaan RP1.

"Pelarasan pada Tarif IBR PGU untuk RP1 akan memberi impak yang minimum (kira-kira RM1.2 juta) ke atas perolehan perniagaan pengangkutan gas kumpulan.

"PGB menjangka perniagaan pengangkutan gas akan terus menyumbang secara positif kepada perolehan kumpulan pada 2022 di bawah mekanisme had pendapatan IBR," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X