Selasa, 1 March 2022 | 9:02pm
Ireka Corporation Bhd
Ireka Corporation Bhd

Ireka diklasifikasi syarikat PN17

KUALA LUMPUR: Ireka Corporation Bhd diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) selepas Bursa Malaysia Securities Bhd menolak permohonan lanjutan tempoh pelepasannya.

Menurut makluman kumpulan itu pada 1 September 2021, tempoh pelepasan tamat pada 26 Februari 2022.

Dalam makluman bursa hari ini, Ireka berkata syarikat mencetuskan kriteria yang ditetapkan dan menjadi penerbit PN17, berkuat kuasa mulai 28 Februari 2022.

"Kriteria yang ditetapkan PN17 dicetuskan oleh ekuiti pemegang saham syarikat pada asas disatukan (menjadi) 50 peratus atau kurang daripada modal sahamnya berdasarkan laporan suku tahun terkini bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2021," katanya.

Dalam makluman berasingan, firma kejuruteraan pembinaan itu berkata, ia sedang mengkaji untuk merangka pelan bagi menyusun semula keadaan kewangannya dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

Ireka mengumumkan pada 27 Ogos 2020, bahawa ia mencetuskan kriteria yang ditetapkan PN17 selepas juruaudit luarnya membangkitkan kebimbangan mengenai ketidakpastian material berkaitan kebimbangan berterusan berhubung penyata kewangan terauditnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021, berikutan ekuiti pemegang sahamnya pada asas disatukan kurang daripada 50 peratus daripada modal sahamnya (42.67 peratus).

-BERNAMA

Berita Harian X