Selasa, 1 March 2022 | 1:54pm
Gambar fail. Ketua Pegawai Eksekutif Ambank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir. - NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
Gambar fail. Ketua Pegawai Eksekutif Ambank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir. - NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA

AmBank sasar raih pelanggan sistem panel solar

KUALA LUMPUR: AmBank Group menyasar untuk memperoleh lebih banyak pelanggan sistem panel solar dengan memanfaatkan perkongsiannya dengan peserta tenaga boleh baharu, Armani Energy Sdn Bhd dan Nestcon Sustainable Solutions Sdn Bhd.

Kedua-dua syarikat itu akan membekalkan panel solar kepada pelanggan AmBank, sekali gus melengkapkan lagi usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Ambank dengan menggalakkan penggunaan kemajuan teknologi hijau untuk kecekapan dan pertumbuhan lebih baik kalangan pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata AmBank setakat ini telah memberikan pembiayaan berjumlah kira-kira RM400 juta untuk pemasangan sistem panel solar.

"Pendedahan pinjaman masih agak rendah buat masa ini. Ia sememangnya usaha yang kami mahu lakukan lebih banyak pada masa depan," katanya pada sidang media secara maya pada Selasa.

Berdasarkan sinergi ini, AmBank menyediakan skim pembiayaan sehingga 50 megawatt kepada rakan kongsi panel solarnya, iaitu Armani dan Nestcon yang akan menawarkan pakej pemasangan sistem solar percuma kepada pelanggan AmBank.

Pengarah Urusan Kumpulan, Nestcon Bhd, Datuk Lim Jee Gin berkata kerjasama dengan AmBank akan melengkapkan pelan pengembangannya ke dalam sektor tenaga boleh baharu.

"Menerusi kerjasama ini, ia akan menawarkan aliran perolehan kukuh baharu dengan memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga solar di seluruh Malaysia," katanya.

Sementara itu Pengerusi Eksekutif Kumpulan Armani, Datuk Seri Bryan Wong Sze Chien berkata pihaknya menjangkakan penyepaduan dinamik tenaga boleh baharu melalui penggunaan berterusan penyelesaian mampan inovatif dalam pelbagai segmen terasnya seperti pembinaan, pembangunan hartanah, perabot dan perladangan. – Bernama

Berita Harian X