Selasa, 1 March 2022 | 1:35pm

SCIB pasang teknologi percetakan kediaman 3D

KUCHING: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) sudah menyiapkan pemasangan sistem percetakan kediaman tiga dimensi (3D) pertamanya untuk meneroka potensi industri pembinaan tempatan menerusi teknologi terkini COBOD International.

Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rosland Othman berkata, teknologi pembinaan masa kini yang sedang menunggu pentauliahan daripada jurutera peralatan luar negara bakal membolehkan SCIB meningkatkan kecekapan operasi pada masa depan.

"Kami bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk membina rumah contoh sistem binaan berindustri (IBS) dan meneroka potensi aplikasi teknologi ini dalam landskap pembinaan domestik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Rosland berkata, sasaran pasaran bagi pertumbuhan perniagaan ketika ini adalah bertumpu kepada projek awam dan swasta yang mampu membantu memenuhi keperluan rakyat.

Katanya, SCIB juga memberi tumpuan kepada projek yang dapat memacu pertumbuhan negara seperti infrastruktur awam, kerja jalan, penyelenggaraan bangunan, pembangunan perbandaran, infrastruktur tenaga boleh diperbaharui, loji utiliti, institusi pendidikan dan kemudahan penjagaan kesihatan.

"Melangkah ke hadapan, SCIB mengharapkan prospek kami untuk tahun-tahun akan datang memandangkan nilai kontrak pesanan semasa kami berjumlah RM1.3 bilion pada Disember 2021 dan ini diterjemahkan kepada keterlihatan pendapatan yang sihat sehingga 2026.

"SCIB bercita-cita untuk menjadi antara peserta utama dalam pasaran global dan kami akan berusaha yang terbaik untuk mengembangkan perniagaan kumpulan secara berhemat dengan mengukuhkan keupayaan serta kapasitinya serta merebut sebarang peluang perniagaan dan menambah baik lagi pesanan kontrak sedia ada," katanya.

Sementara itu, syarikat kejuruteraan sivil berpangkalan di Sarawak meraih pendapatan RM38.15 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2022 berakhir 31 Disember 2021.

Tiada perbandingan suku sama dengan tahun kewangan sebelumnya kerana SCIB menukar tahun kewangan daripada 31 Disember 2020 kepada 30 Jun 2021 pada 24 Mei tahun lalu.

Bagi suku dikaji, SCIB mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) dan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM1.35 juta.

Berita Harian X