Selasa, 1 March 2022 | 8:46am
Capital A Bhd
Capital A Bhd

Capital A rugi RM3.21 bilion

KUALA LUMPUR: Kerugian bersih Capital A Bhd, sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Group Bhd, berkurangan kepada RM3.12 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 daripada kerugian bersih RM5.11 bilion bagi tahun kewangan 2020.

Perolehan susut kepada RM1.73 bilion daripada RM3.27 bilion bagi tempoh yang sama, menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

Capital A menjelaskan Teleport menyumbang 31 peratus kepada perolehan syarikat.

Selain itu, Super App dan BigPay merekodkan pertumbuhan perolehan yang stabil apabila ia memperkenalkan lebih banyak produk selain melabur dalam teknologi dan bakat untuk meningkatkan perniagaan, tambahnya.

Menurut syarikat itu, secara keseluruhannya, kesan pandemik COVID-19 terus menjejaskan operasi kumpulan dengan teruk.

"Berikutan sempadan antarabangsa masih ditutup, kami menumpukan penyediaan operasi domestik di negara yang menempatkan operasi kami di samping mengembangkan perniagaan digital," jelasnya.

Capital A menambah, faktor muatan bagi kumpulan penerbangan itu kekal baik iaitu 74 peratus pada tahun kewangan 2021, disokong oleh strategi yang dilaksanakan untuk menguruskan pelbagai sekatan pergerakan yang dikenakan kerajaan negara masing-masing.

Pada tahun kewangan 2021, syarikat penerbangan itu membawa 4.81 juta penumpang, merosot 64 peratus daripada 13.31 juta pada tahun kewangan 2020.

Kerugian bersih Capital A pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021 berkurangan kepada RM884.09 juta daripada RM2.45 bilion yang direkodkan pada suku keempat tahun kewangan 2020, manakala perolehan melonjak kepada RM717.12 juta daripada RM328.39 juta.

Menurut Capital A, peningkatan perolehan itu adalah berikutan kelonggaran sekatan perjalanan dan pengenalan laluan perjalanan tanpa kuarantin.

Kira-kira 64 peratus daripada perolehan kumpulan adalah melibatkan segmen penerbangan manakala lebihan 36 peratus lagi disumbangkan oleh perniagaan digital.

Teleport menyumbang 19 peratus daripada perolehan itu berbanding 10 peratus pada suku keempat tahun kewangan 2020.

Bagi AirAsia Malaysia, penumpang dan kapasiti yang dibawa masing-masing menokok 164 peratus dan 139 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya berikutan peningkatan permintaan selepas pembukaan semula sempadan negara, tambahnya.

Faktor muatan pula naik sebanyak tujuh mata peratusan tahun ke tahun dan 19 mata peratusan suku ke suku kepada 80 peratus berikutan musim perayaan akhir tahun dan peningkatan kekerapan di laluan yang mendapat permintaan tinggi antara Kuala Kumpur (KL) dan Langkawi, diikuti laluan KL-Kota Kinabalu pada November dan Disember 2021.

AirAsia Malaysia mengakhiri tahun berkenaan dengan faktor muatan yang tinggi berjumlah 76 peratus.

Pertumbuhan faktor muatan bagi AirAsia Indonesia pula meningkat 22 mata peratusan kepada 81 peratus pada suku keempat tahun kewangan 2021, dipacu peningkatan kekerapan penerbangan yang seiring dengan pertambahan permintaan, terutamanya pada Disember 2021.

Faktor muatan pada 2021 berjumlah 64 peratus.

AirAsia Filipina terus mencatatkan prestasi lebih baik dengan mencapai 85 peratus faktor muatan pada suku keempat tahun kewangan 2021 berikutan permintaan terpendam di beberapa destinasi utama termasuk Cebu, Cagayan de Oro, Boracay dan Tacloban.

Ia meraih faktor muatan yang memberangsangkan pada 2021 berjumlah 80 peratus.

Sementara itu, perolehan Teleport melonjak 274 peratus tahun ke tahun, dipacu oleh pertumbuhan strategik rangkaian kargonya, yang dilaksanakan untuk mengimbangi pengurangan 90 peratus kapasiti penumpang ketika prapandemik.

Menurut Capital A, keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan kembali kepada prestasi untung pada suku keempat tahun kewangan 2021 memandangkan margin kargo meningkat secara ketara apabila rangkaian dioptimumkan untuk memanfaatkan peningkatan hasil yang bermusim.

Begitu juga dengan jumlah segmen penghantaran yang melonjak 950 peratus tahun ke tahun dan 90 peratus suku ke suku kepada hampir 600,000 penghantaran pada suku keempat tahun kewangan 2021.

Pada akhir 2021, asas pengguna BigPay meningkat 50 peratus daripada angka yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, tambahnya.

Capital A menjelaskan, melalui pelbagai langkah pengumpulan dana, dengan syarikat mengumpul lebih RM2.5 bilion dalam tempoh dua tahun lalu.

Menerusi langkah meneruskan dasar kawalan kos yang ketat, syarikat itu menjangkakan ia bukan sahaja akan mempunyai kecairan yang mencukupi untuk mengekalkan operasi perniagaan sepanjang 2022 malah cepat pulih apabila ekonomi dunia terus dibuka secara beransur-ansur.

"Selain segmen penerbangan, kami menyaksikan daya tarikan yang amat positif merentas semua syarikat portfolio kami yang lain termasuk perniagaan penyelenggaraan kejuruteraan pesawat, Asia Digital Engineering, dan Teleport, kargo dan usaha niaga logistik bahagian akhir kami.

"Super App adalah yang paling pesat berkembang di ASEAN dan bahagian teknologi kewangan kami, BigPay berada di landasan untuk benar-benar mendemokrasikan perkhidmatan kewangan di seluruh rantau ini," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X