Ahad, 27 Februari 2022 | 12:41pm
Sunway Bhd
Sunway Bhd

Sunway catat keuntungan luar biasa

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sunway Bhd melonjak ketara kepada RM2.67 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding hanya RM357.25 juta bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Konglomerat pembinaan itu berkata, prestasi kewangan positif disokong pendapatan yang lebih tinggi kepada RM3.71 bilion bagi tahun kewangan 2021, disumbangkan oleh prestasi operasi yang mampan, didorong sumbangan lebih kukuh daripada pelaburan hartanah, pembinaan dan segmen lain.

"Pendapatan kumpulan melonjak dari RM3.21 bilion disebabkan terutama pendapatan lebih kukuh daripada pelaburan hartanah dan segmen lain," katanya.

Menurut Sunway, segmen pelaburan hartanah mencatatkan perolehan RM624.2 juta pada tahun kewangan 2021 berbanding RM494.6 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

"Ini berikutan jualan lebih tinggi dan bayaran yang menunjukkan kemajuan daripada projek pembangunan tempatan di samping sumbangan lebih tinggi daripada penyempurnaan dan penyerahan dua projek pembangunan tempatan pada separuh kedua tahun ini," katanya.

Sunway berkata, segmen pembinaan mencatatkan pendapatan RM1.11 bilion bagi tahun kewangan 2021 berbanding perolehan RM990.2 juta dalam tempoh 12 bulan yang sama tahun sebelumnya, terutama disebabkan bayaran yang mencatatkan kemajuan lebih tinggi daripada projek pembinaan tempatan dan margin keuntungan yang lebih tinggi.

Menuju ke hadapan, Sunway berkata, penularan kes COVID-19 yang melonjak baru-baru ini, gangguan rantaian bekalan global yang berpanjangan dan peningkatan tekanan inflasi yang membawa kepada pengetatan dasar monetari, boleh menjejaskan pemulihan ekonomi dalam masa terdekat serta jangka sederhana.

"Walaupun risiko penurunan adalah ketara, kumpulan beroperasi dengan persediaan lebih baik untuk menguruskan impak lanjutan," katanya.

Ia menegaskan, selepas dua tahun dilanda pandemik, situasi buruk yang berlaku semakin reda berikutan kejayaan pelaksanaan vaksinasi secara besar-besaran oleh kerajaan.

"Kami menantikan pembukaan semula sempadan negara memandangkan ia akan terus memberi manfaat kepada aktiviti pelancongan, hospitaliti dan penjagaan kesihatan di negara ini susulan penyambungan semula aktiviti riadah dan pelancongan perubatan," katanya.

Berita Harian X