Jumaat, 25 Februari 2022 | 10:20pm
Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet.
Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet.

Keuntungan bersih Iconic Worldwide naik 42.68 peratus

PULAU PINANG: Iconic Worldwide Bhd (Iconic Worldwide), syarikat terbabit dalam pelancongan, pembangunan hartanah dan pembuatan peralatan perlindungan peribadi (PPE), mengumumkan keputusan suku ketiga berakhir 31 Disember lalu (3QFY22), yang menunjukkan peningkatan yang kukuh di sebalik sumbangan yang semakin tinggi daripada segmen pembuatan.

Dalam pemfailan ke Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pendapatan sukuan kumpulan menunjukkan peningkatan 23.03 peratus kepada RM20.88 juta berbanding RM16.97 juta sebelumnya.

Keuntungan selepas cukai meningkat sebanyak 42.68 peratus kepada RM4.68 juta berbanding RM3.28 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

Sementara itu untuk tempoh kumulatif bagi 9 bulan, Iconic Worldwide melihat pendapatan dan keuntungan selepas cukai meningkat 74.88 peratus dan 55.86 peratus kepada RM58.46 juta dan RM11.81 juta, berbanding RM33.43 juta dan RM7.58 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2021.

Iconic Worldwide berkata, pendapatan tinggi dan sumbangan margin daripada segmen pembuatan digabungkan dengan sumbangan lebih tinggi daripada segmen pembangunan hartanah yang menyumbang secara kukuh kepada peningkatan semasa dan dalam tempoh kewangan kumulatif.

Pengarah Urusannya Datuk Tan Kean Tet berkata, pendapatan daripada segmen pembuatan ketika ini disumbangkan oleh jualan dan pengedaran topeng muka pakai buang, oleh itu pihaknya menjangka sumbangan akan bertambah baik malah lebih ketara dalam suku berakhir 31 Mac ini (suku keempat 2022) setelah baru sahaja memulakan enam barisan pengeluaran sarung tangan di fasiliti pembuatan PPE pada Disember lalu.

"Untuk segmen pembangunan hartanah, Iconic Worldwide sedang menyemak beberapa prospek projek baru yang akan dilancar dengan memanfaatkan simpanan tanah yang ada," katanya.

Pada 15 Januari 2021 Iconic Worldwide menerusi anak syarikatnya Iconic Medicare Sdn Bhd melancarkan kemudahan pembuatan sarung tangan dan topeng muka bernilai RM200 juta di Taman Industri Batu Kawan Pulau Pinang.

Berita Harian X