Jumaat, 25 Februari 2022 | 10:11pm
Pengarah Urusan G3 Global, Dirk Quinten.
Pengarah Urusan G3 Global, Dirk Quinten.

G3 Global raih pendapatan RM18.69 juta

KUALA LUMPUR: Pakar kecerdasan buatan G3 Global Bhd (G3 Global) melengkapkan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021) dalam nada positif apabila pendapatan sukuan kumpulan melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh lebih empat tahun.

Syarikat dalam satu kenyataan berkata, bahagian penjagaan kesihatan menunjukkan prestasi cemerlang di mana pendapatan meningkat lebih banyak 700 peratus, suku ke suku berikutan jualan kukuh kit antigen COVID-19, yang mendorong G3 Global mendekati sasaran pemulihannya.

"G3 Global, yang juga membekal Internet-of-Things (IoT) berkaitan objek dan penyampaian penyelesaian data berasaskan awan, merekodkan perolehan RM18.79 juta di dalam suku keempat 2021 mewakili pertumbuhan kukuh lebih dari lapan kali tahun ke tahun. Kumpulan mencatatkan pendapatan RM2.29 juta pada suku tahun sebelumnya.

"G3 Global pada dasarnya mencatat kerugian sebelum cukai RM7.27 juta di dalam suku keempat 2021 berbanding dengan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.97 juta tahun sebelumnya.

"Jumlah yang lebih tinggi perlu dibayar ke atas pelaksaan yang diambil oleh G3 Global untuk bahagian Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) khususnya berkenaan item yang berkaitan dengan kerjasama lepas dengan Green Packet Bhd," kata Pengarah Urusannya, Dirk Quinten.

Katanya, ia membabitkan rosot nilai RM2.9 juta dibuat ke atas jumlah hutang oleh Green Packet Bhd untuk produk ICT yang dibeli daripada G3 Global serta hapus kira inventori bernilai RM2.2 juta yang berkaitan telematik dan Internet of Things.

"Jika rosot nilai dan hapus kira tidak dimasukkan, G3 Global akan melaporkan kerugian sebelum cukai hanya RM2.2 juta di dalam suku keempat 2021.

"Sebagaimana tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2021, G3 Global mencatat 57 peratus lonjakan di dalam perolehan kepada RM23.6 juta berbanding RM15.03 juta sebelumnya, yang terutamanya didorong oleh bahagian Penjagaan Kesihatan," katanya.

Sementara itu, kumpulan telah mengurangkan kerugian sebelum cukai kepada RM9.22 juta bagi tahun kewangan 2021, turun 31 peratus tahun ke tahun daripada RM13.39 juta.

Berita Harian X