Jumaat, 25 Februari 2022 | 9:55pm
Datuk Teoh Hwa Cheng.
Datuk Teoh Hwa Cheng.

Pecca raih pendapatan sukuan tertinggi

KUALA LUMPUR: Pengeluar upholsteri kulit automotif Pecca Group Bhd (Pecca) melaporkan pendapatan suku tahunan tertinggi sepanjang masa pada suku kedua berakhir 31 Disember 2021 (2Q222).

Ia didorong jualan yang lebih kukuh daripada segmen automotif yang mana pelanggannya termasuk Proton, Perodua, Nissan, Toyota, Peugeot dan Volkswagen. Pecca yakin bahawa tempoh terbaik bakal tiba susulan jangkaan jualan oleh pengeluar kenderaan utama yang lebih tinggi pada 2022, sekali gus mewujudkan permintaan yang lebih tinggi untuk produk Kumpulan selaku peneraju pasaran.

Pecca dalam satu kenyataan berkata, ia mencatatkan pendapatan sebanyak RM45.2 juta pada 2Q22, mewakili peningkatan sebanyak 15 peratus tahun ke tahun daripada RM39.5 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Pencapaian memberangsangkan itu diraih apabila hampir semua pasaran Pecca dari segi geografi iaitu Malaysia, Eropah, Oceania dan Amerika Utara – mencatatkan pertumbuhan hasil yang menggalakkan.

"Pada suku dalam tinjauan, perniagaan upholsteri kulit dan penjagaan kesihatan Kumpulan masing-masing menyumbang kira-kira 79 peratus dan 11 peratus daripada keseluruhan pendapatan.

"Segmen tempat duduk kereta kulit Pengeluar Peralatan Asal (OEM) menyumbang kira-kira 82 peratus daripada jumlah pendapatan penutup tempat duduk kereta kulit manakala Pengilang Peralatan Gantian (REM) dan Pemeriksaan Pra-Penghantaran (PDI) masing-masing menyumbang kira-kira 7.0 peratus dan 11 peratus," katanya.

Sementara itu, pendapatan yang dijana daripada perniagaan penjagaan kesihatan secara relatifnya konsisten pada RM4.81 juta berbanding RM4.84 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Perolehan segmen Penerbangan pula meningkat sebanyak 24.8 peratus tahun ke tahun kepada RM151,000 berbanding RM121,000 setahun sebelumnya.

Pecca melaporkan keuntungan bersih RM6.0 juta pada 2Q22 berbanding RM6.05 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Penyusutan sedikit keuntungan bersih sebanyak 0.82% berikutan terutamanya oleh peningkatan dalam kos logistik dan penghantaran untuk segmen Automotif.

Namun begitu, Kumpulan meneruskan momentum margin keuntungan bersih dua angka pada suku kedua, dengan margin yang baik sebanyak 13.3%.

Mengulas perkembagan itu, Pengarah Urusan Pecca Group Bhd, Datuk Teoh Hwa Cheng berkata prestasi operasi syarikat meningkat pada suku kedua susulan beberapa tempahan yang tertangguh dari suku pertama akibat sekatan perjalangan yang dilaksanakan pada Oktober hingga Disember 2021.

Di samping itu, katanya, kapasiti pengeluaran kami kekal di atas paras pra-pandemik dan ini membolehkan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pasaran.

"Dalam Kumpulan, di tengah-tengah pertumbuhan jumlah jualan, Pecca kekal komited untuk menjadikan operasinya lebih cekap dan mengawal kos pengeluarannya. Ini akan dicapai tanpa menjejaskan kualiti produk kami dan memperlahankan usaha penyelidikan dan pembangunan kami bagi meningkatkan kualiti produk.

"Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kecekapan operasi, Pecca pada 12 Januari 2022 telah memeterai Perjanjian Jual Beli untuk memperoleh tanah perindustrian seluas 4.31 ekar di Serendah, Selangor bagi tujuan membina kemudahan pembuatan keduanya.

"Meninjau ke hadapan, kami berharap tahun yang lebih kukuh susulan pengeluar kereta meningkatkan pengeluaran mereka di tengah-tengah permintaan tinggi yang sebahagiannya dirangsang oleh insentif pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang sehingga 30 Jun 2022," katanya.

Beliau berkata, Pecca bukan sahaja akan mendapat manfaat daripada permintaan yang lebih kukuh untuk upholsteri kulit kenderaan, tetapi juga daripada permintaan yang tinggi untuk pelitup muka kerana kes COVID-19 yang terus meningkat.

"Bahagian Penjagaan Kesihatan kami mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan sehingga 30 juta unit pelitup muka setiap bulan, termasuk model pelitup jenis respirator yang lebih canggih seperti KF94, KN95 dan N95 duckbill.

"Dengan pelanggan OEM kami Rentas Health Sdn Bhd giat bekerja memasarkan produk kami ke seluruh Malaysia, kami yakin bahagian Penjagaan Kesihatan akan meningkatkan lagi keuntungan kami pada masa hadapan," tambah beliau.

Bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2022 ("1HFY22"), Pecca mencatatkan pendapatan sebanyak RM67.99 juta berbanding RM72.61 juta pada tahun sebelumnya. Segmen Automotif menyumbang RM56.41 juta, manakala segmen Penjagaan Kesihatan dan Penerbangan masing-masing menghasilkan RM11.30 juta dan RM0.28 juta.

Keuntungan bersih bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM6.51 juta, berbanding RM11.15 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. Asas kumpulan terjejas oleh prestasi yang lebih lemah pada suku pertama berikutan sekatan perjalanan secara keseluruhan yang dilaksanakan kerajaan dari Jun hingga pertengahan Ogos 2021, yang man menyebabkan bahagian upholsteri kulit ditutup buat sementara waktu.

Dalam perkembangan berasingan, Pecca mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa hari ini pada 25 Februari 2022 untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi cadangan pelaksanaan terbitan bonusnya, yang man bertujuan untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham dan meluaskan lagi asas pelabur. Kumpulan dengan sukacitanya mengumumkan bahawa ia telah menerima kelulusan sebulat suara secara undian daripada pemegang saham untuk melaksanakan terbitan bonus.

Di bawah pelaksanaan itu, sehingga 564 juta saham biasa baharu (saham bonus) Pecca akan diterbitkan berasaskan tiga Saham Bonus bagi setiap satu saham Pecca sedia ada yang dipegang oleh para pemegang sahamnya.

Berita Harian X