Jumaat, 25 Februari 2022 | 9:16pm
TIME dotCom Bhd
TIME dotCom Bhd

Untung bersih TIME dotCom melonjak

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih TIME dotCom Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 melonjak kepada RM393.16 juta berbanding RM328.05 juta yang dicatatkan pada tahun sebelum ini.

Pendapatan meningkat kepada RM1.40 bilion daripada RM1.22 bilion.

Menurut syarikat itu, permintaan yang berdaya tahan daripada segmen pelanggan perusahaan dan runcit untuk pusat data serta penawaran data menyumbang secara positif kepada pertumbuhan pendapatan yang berterusan.

Manakala, pengembangan keuntungan adalah disebabkan oleh peningkatan pendapatan keseluruhan termasuk bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu dan kenaikan perolehan daripada pertukaran asing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Afzal Abdul Rahim dalam satu kenyataan berkata, tahun kewangan 2021 adalah tahun yang sangat penting bagi syarikat itu dengan beberapa perkembangan positif seperti pengambilalihan kepentingan strategik dalam AVM Cloud Sdn Bhd dan bermulanya operasi pusat data baharunya di Cyberjaya.

"Kumpulan menunjukkan pertumbuhan yang berterusan walaupun terdapat landskap operasi dan ekonomi yang masih menerima kesan pandemik.

"Kami menjangkakan permintaan akan terus naik bagi perkhidmatan data dan pusat data memandangkan pengembangan pendigitalan dan usaha mempercepatkan aspirasi ekonomi digital negara.

"Dengan faktor-faktor ini, kami akan terus melabur untuk mengembangkan keupayaan syarikat, khususnya kerana ia terkait dengan jejak rangkaian dan penyelesaian data kami. Serentak dengan pergerakan ke dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), ekonomi secara keseluruhan akan mula menstabil tetapi kami akan tetap berwaspada terhadap sebarang potensi risiko," katanya.

Kumpulan mengisytiharkan dividen satu interim biasa dan interim cukai khas (satu peringkat) sebanyak 10.86 sen dan 2.29 sen sesaham biasa untuk tahun kewangan 2021 yang akan dibayar menjelang 23 Mac depan.

TIME turut mengumumkan dasar dividen baharu yang mana, pada setiap tahun akan membayar dividen biasa sehingga 50 peratus berbanding 25 peratus sebelumnya, daripada keuntungan yang dinormalisasi kumpulan selepas cukai, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2021.

"Salah satu inisiatif jangka pendek kami adalah untuk mengoptimumkan pengurusan modal dan kunci kira-kira kami dengan meletakkan tumpuan yang lebih besar terhadap kecekapannya.

"Ini akan membolehkan kami beroperasi dan bersaing dengan lebih berkesan selain itu, mewujudkan lebih banyak nilai jangka panjang bagi pemegang saham," kata Afzal.

Kumpulan ketika mengulas mengenai prospek syarikat berkata, ia yakin permintaan pasaran untuk penyelesaian digital dan sambungan akan terus berkembang seiring dengan hasrat kerajaan yang mahu mengukuhkan penggunaan ekonomi digital.

"TIME tetap komited untuk menyokong aspirasi ini dengan memperluaskan lagi jejak rangkaian dan inovasi dalam menyampaikan penyelesaian kepada pasaran yang sentiasa berkembang.

"Di peringkat serantau pula, kumpulan akan terus memantapkan lagi kedudukan strategiknya di ruang pusat data serta teknologi awan selain meneruskan usaha dalam memenuhi permintaan penyambungan merentas sempadan daripada pelanggannya," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X