Khamis, 24 Februari 2022 | 7:20pm
Syarikat minyak negara, PETRONAS - Foto Reuters
Syarikat minyak negara, PETRONAS - Foto Reuters

PETRONAS cari peluang dalam industri RE di China

KUALA LUMPUR: PETRONAS sedang mencari ruang pertumbuhan yang lebih tinggi di Asia Pasifik bagi memperluaskan kehadiran tenaga boleh diperbaharui (RE) kumpulan itu, khususnya di China.

Ketua Pembangunan Perniagaan Tenaga Baharu PETRONAS, Syed Malek Faisal Syed Mohamad, berkata syarikat minyak negara itu menjadi peserta RE yang mantap dengan portfolio yang besar.

Ia mengendalikan ladang solar terbuka terbesar di India dengan kapasiti 800 megawatt dan di Malaysia, PETRONAS mengoperasi atau sedang membangunkan aset solar dengan kapasiti lebih daripada 100 megawatt.

Secara keseluruhan, kapasiti tenaga bersihnya sedang mencapai satu gigawatt (GW).

"Kami juga menubuhkan pejabat di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk menangani pasaran Asia Barat.

"Kami juga meneroka peluang di Vietnam," katanya pada Persidangan Perkapalan Hijau yang dianjurkan sempena Minggu Maritim Malaysia 2022.

Asia Pasifik akan menjadi pasaran terbesar untuk RE yang diterajui China, India dan negara-negara lain di rantau ini yang didorong oleh komitmen untuk mengimbangi perubahan iklim.

Gergasi kedua ekonomi dunia itu merancang untuk memasang generasi solar dan angin terbesar dengan kapasiti RE negara yang ditetapkan untuk meningkat kepada 4,226 GW menjelang 2050 atau 74 peratus daripada jumlah penjanaan tenaga.

Sementara itu, India akan menjadi pemain kedua terbesar dengan kapasiti 523 GW menjelang 2030.

Di Malaysia, kerajaan menyasarkan gabungan kapasiti RE sebanyak 20 peratus pada 2025.

Menjelang 2050, RE akan menjadi penjana tenaga alternatif dengan gabungan 62 peratus.

Menurut Syed Malek Faisal lagi, PETRONAS juga sedang melihat kepada penyelesaian penyimpanan bateri untuk menyokong perniagaannya secara lebih menyeluruh.

"Kos penyimpanan tenaga pada masa sekarang masih lagi terlalu mahal. Jadi, kami perlu melihat daya maju komersialnya. India dan Australia adalah pasaran yang mana kami sedang membangunkan projek-projek ini ... dan kami akan menumpu kembali ke Malaysia apabila kos menjadi lebih murah," katanya.

PETRONAS juga mempunyai keupayaan dan kemudahan yang tersedia bagi menghasilkan hidrogen karbon rendah selepas meneroka ke dalam arena itu pada 2020.

Ketua Pembangunan Perniagaan Hidrogen PETRONAS, Ariff Adry Adnan berkata syarikat minyak negara itu mampu menghasilkan kira-kira satu juta tan hidrogen kelabu setahun.

PETRONAS sedang mempromosikan hidrogen hijau di pelbagai negara yang ingin menggunakan tenaga yang bersih .

Secara keseluruhan, ia mempunyai sasatan bagi menghasilkan 170,000 tan hidrogen setahun dalam portfolionya.

Ketua Pembangunan Perniagaan (Pengisian Bahan Api Perkapalan LNG) Petronas Marine, Mohd Rafe Mohamed Ramli ketika mengulas mengenai perniagaan pengisian bahan api perkapalan gas cecair asli berkata PETRONAS hari ini menjadi pemimpin di Asia Pasifik.

Ia melakukan 37 operasi pengisian bahan api pada tahun lalu.

Katanya, untuk memastikan kelestarian sektor itu, peneraju industri perlu memainkan peranan mereka dalam meningkatkan lagi pasaran.

-BERNAMA

Berita Harian X