Khamis, 24 Februari 2022 | 4:07pm
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah

UEM Sunrise dijangka kembali catat untung

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd dijangka kembali meraih keuntungan tahun ini selepas mencatatkan kerugian bersih RM214.33 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, didorong pelupusan aset dan pelan pemulihan yang dilaksanakan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sufian Abdullah, berkata tempoh terburuk sudah berakhir dengan kembalinya prospek positif disokong langkah pelupusan aset tertentu dan jangkaan perolehan jualan tahunan yang memberangsangkan bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

Katanya, UEM Sunrise menyasarkan untuk melupuskan aset bernilai lebih RM300 juta membabitkan gabungan antara tanah, aset ideal dan warisan seperti tempat letak kereta, apartmen dan tanah tidak terjual.

"Kami akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada aliran pendapatan pembangunan hartanah kami sambil memperkukuh program pengekalan aset bagi mendapatkan aset bernilai lebih tinggi yang akan memberikan hasil yang lebih baik untuk syarikat.

"Kami sudah menganalisis aset sedia ada dan mengenalpasti aset yang kami miliki.

"Apa-apa saja yang sudah dikenal pasti di bawah paras ambang tertentu akan dimasukkan ke dalam pasaran pelupusan," katanya kepada media pada taklimat keputusan kewangan tahun kewangan UEM Sunrise, hari ini.

Sufian berkata, pasaran hartanah berdepan cabaran melonjakkan jualan tahun ini disebabkan berakhirnya Kempen Pemilikan Rumah (HOC), selain prospek mencabar pasaran.

"Daripada terus bergantung kepada insentif, syarikat menyemak semula strategi harga dan kaedah pemasaran serta menstruktur semula kosnya untuk mengatasi perkara ini," katanya.

Berita Harian X