Rabu, 23 Februari 2022 | 9:38pm
Tenaga Nasional Bhd (TNB) - Foto Reuters
Tenaga Nasional Bhd (TNB) - Foto Reuters

Unit TNB selesai pembiayaan loji jana kuasa solar di UK

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), Vantage RE Ltd, menyelesaikan urusan pembiayaan membabitkan £275 juta (RM1.56 bilion) melalui pembiayaan semula portfolio loji jana kuasa solar Vantage Solar UK (VSUK) di United Kingdom (UK).

Menurut TNB, kemudahan pembiayaan dengan Macquarie Asset Management yang diatur oleh Standard Chartered Bank itu adalah sebahagian daripada inisiatif pengurusan Vantage RE untuk mengoptimumkan struktur pembiayaan VSUK.

Ia juga bertujuan memberikan kepastian pelaburan yang lebih besar bagi jangka panjang, jelas TNB dalam kenyataan pada Rabu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din, berkata langkah pembiayaan semula itu membuktikan portfolio berkenaan mampu memenuhi harapan pemberi pinjaman terhadap pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui prestasi portfolio itu yang seiring dengan taksonomi Kesatuan Eropah bagi aktiviti mampan.

"Aktiviti itu memperkukuh usaha TNB dalam mencapai visi ESG globalnya," katanya dalam kenyataan yang sama.

TNB menambah, portfolio solar 365 MW yang merangkumi 24 loji solar fotovoltaik yang ditempatkan di atas tanah di England dan Wales itu memberi sumbangan penting kepada bekalan tenaga bersih UK.

Seperti yang dianggarkan oleh Green Investment Group di bawah Macquarie, portfolio berkenaan menghasilkan tenaga elektrik yang mencukupi setiap tahun untuk membekalkan tenaga setara lebih 90,000 rumah di samping membantu mengelakkan kira-kira 3,300 kilotan pelepasan setara karbon dioksida sepanjang baki hayat portfolio itu, tambahnya.

Menurut TNB, langkah pembiayaan semula berkenaan adalah satu lagi sumbangan berharga yang diberikan oleh Vantage RE kepada portfolio solar di bawah pengurusannya.

Sejak mengambil alih kawalan pengurusan portfolio VSUK tahun lalu, prestasi keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan portfolio itu telah meningkat kira-kira 28 peratus daripada £30.3 juta (RM172.4 juta) pada 2020 kepada £38.7 juta (RM220.2 juta) pada 2021, jelas syarikat utiliti elektrik Malaysia itu.

"TNB yakin di bawah pengurusan Vantage nilai portfolio VSUK akan berkembang dan terus menyediakan pulangan boleh terima untuk pelaburnya," menurutnya.

-BERNAMA

Berita Harian X