Rabu, 23 Februari 2022 | 9:31pm
IOI Corporation Bhd - Foto hiasan
IOI Corporation Bhd - Foto hiasan

Harga sawit lonjak untung IOI Corp

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih IOI Corporation Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2021 melonjak kepada RM494.70 juta berbanding RM355.70 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini, selepas dipacu oleh kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).

Pendapatan menokok kepada RM4.11 bilion daripada RM2.45 bilion, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Keuntungan daripada segmen perladangan naik 69 peratus kepada RM576 juta dari tahun ke tahun disebabkan realisasi harga MSM dan isirong sawit (PK) yang lebih baik.

Purata realisasi harga MSM serta PK pada suku kedua bersifat agak mantap, masing-masing pada RM4,565 satu tan dan RM3,678 satu tan.

Sementara itu, keuntungan segmen pembuatan berasaskan sumber bertambah kepada RM152.8 juta daripada RM21.2 juta yang direkodkan dalam suku kedua.

Kenaikan keuntungan ini disumbangkan oleh sub-segmen oleokimia dengan peningkatan margin tetapi diimbangi oleh sumbangan yang lebih rendah daripada sub-segmen penapisan.

IOI menjangka prestasinya dalam tempoh tahun kewangan 2022 untuk menjadi positif di belakang prestasi yang kukuh daripada segmen perladangan.

Harga MSM bergerak hampir kepada penanda aras RM6,000 setan berikutan laporan pemotongan duti import India termasuk peraturan sekatan eksport minyak kelapa sawit Indonesia.

Syarikat itu menjangkakan harga MSM kekal kukuh sehingga sekurang-kurangnya hingga pertengahan tahun ini, disokong oleh keterhadan pembekalan minyak yang boleh dimakan di pasaran antarabangsa serta pertumbuhan ekonomi global.

"Untuk segmen perladangan kami, pengeluaran tandan buah segar bagi tempoh baki tahun kewangan 2022 diramalkan akan terjejas oleh kesan bermusim, kekurangan buruh serta gangguan operasi lain yang disebabkan oleh penularan wabak Omicron baru-baru ini.

"Bagaimanapun, dengan harga minyak sawit yang kukuh dan inisiatif mekanisasi yang semakin intensif di estet kami, segmen perladangan dijangka berfungsi dengan baik sepanjang tahun kewangan semasa," kata IOI.

Syarikat itu juga mengunjurkan prestasi sub-segmen pemasaran penapisan dan komoditi untuk terus berdaya tahan berikutan model perniagaannya yang cekap berdasarkan kepada keupayaan penapisan di Sabah.

Margin penapisan sawit dan isirong hancur di Malaysia terus menerima kesan negatif akibat daripada harga MSM dan isirong yang tinggi termasuk persekitaran duti eksport di Indonesia, katanya.

Bagi sub-segmen oleokimia, margin produk dijangka akan terjejas oleh kenaikan mendadak dalam harga bahan mentah isirong sawit sejak Disember 2021, walaupun permintaan terpendam untuk produknya tetap kukuh disebabkan oleh kepesatan dalam rantaian bekalan sebelum ini yang selaras dengan pertumbuhan ekonomi global, katanya.

IOI juga meramalkan peningkatan dalam prestasi operasi sub-segmen lemak khususnya oleh syarikat bersekutu, Bunge Loders Croklaan, walaupun menghadapi cabaran seperti kos pengangkutan dan tenaga yang sudah mula meningkat.

-BERNAMA

Berita Harian X