Rabu, 23 Februari 2022 | 1:04pm
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Capital A, Surina Shukri
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Capital A, Surina Shukri

Bekas CEO MDEC dilantik jadi pengarah Capital A

KUALA LUMPUR: Capital A Bhd melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutifnya berkuat kuasa 31 Januari 2022.

Surina juga akan bertanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan Kumpulan Capital A.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata keputusan melantik profesional Malaysia yang berpengalaman seperti Surina bertujuan untuk menekankan komitmen dan tumpuan strategik Capital A untuk meningkatkan daya saing pasaran perniagaan baharunya, termasuk airasia Super App dan usaha e-dagang.

"Kumpulan yakin kehadiran Surina yang membawa pengalaman luas dan pemimpin yang diiktiraf serta dihormati dalam bidang transformasi digital, inovasi, kepelbagaian dan keterangkuman bakal membantu operasi perniagaan Capital A.

"Surina membawa pengetahuan dan kepakaran strategik sejajar dengan perkembangan dan pertumbuhan kami sebagai sebuah syarikat teknologi yang diiktiraf di peringkat global dengan misi untuk menawarkan nilai lebih besar kepada semua," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Surina berkata AirAsia adalah syarikat yang sangat dikagumi kerana ia mempunyai daya tahan, semangat keusahawanan dan inovatif yang tersendiri.

Beliau berkata, walaupun industri penerbangan berdepan dengan krisis terhebat ddalam sejarah penerbangan komersial sekitar dua tahun kebelakangan ini, namun AirAsia terus berinovasi dan berubah daripada sebuah syarikat penerbangan kepada kumpulan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup digital sehenti.

"Dengan pasukan kepimpinan yang kukuh, disokong oleh kumpulan pengarah bebas baharu yang kuat, saya teruja untuk membantu membina syarikat ini menjadi juara global.

"Ini adalah masa paling mengujakan untuk menyertai AirAsia dalam revolusi seterusnya mengharungi era digital," katanya.

Berita Harian X