Selasa, 22 Februari 2022 | 6:40pm

TH Plantations raih untung bersih RM101.6 juta

KUALA LUMPUR: TH Plantations Bhd (THP) terus menunjukkan prestasi positif dengan melaporkan peningkatan keuntungan bersih hampir tiga kali ganda iaitu sebanyak RM101.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM27.5 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatannya meningkat 37.1 peratus kepada RM760.8 juta berbanding RM 555.1 juta sebelumnya, katanya dalam satu kenyataan.

THP juga menunjukkan peningkatan dari segi operasi, yang mana ia mencatat keuntungan kasar sebanyak RM252.8 juta, lebih tinggi berbanding RM177.2 juta tahun lalu.

Prestasi baik itu disokong oleh purata harga realisasi yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) walaupun pengeluaran berkurangan sedikit serta persekitaran operasi yang sangat mencabar dengan kekurangan pekerja buruh yang meruncing.

Keputusan kewangan suku keempat THP bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 yang diumumkan hari ini, melaporkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak RM9.6 juta setelah mengambil kira kesan perubahan dalam anggaran berhubung perakaunan aset biologi, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM3.2 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Keuntungan suku keempat itu disokong oleh pengeluaran dan purata harga realisasi produk sawit yang lebih tinggi.

Pendapatan bagi suku keempat meningkat 71.3 peratus kepada RM 247.5 juta, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pelan Pemulihan Strategik Kumpulan THP masih diteruskan dengan penekanan kepada usaha transformasi untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan yang merangkumi usaha kemampanan, penanaman semula dan mekanisasi operasi yang kekal sebagai kunci untuk memastikan ia berada dalam kedudukan operasi dan kewangan yang lebih baik setelah selesai.

THP menjangkakan bahawa harga pasaran semasa bagi produk sawit kekal menggalakkan dan kukuh sepanjang suku berikutnya disebabkan tahap inventori keseluruhan minyak sawit yang ketat di Malaysia, keadaan cuaca yang tidak menentu serta ketetapan baharu mengenai eksport dan import Minyak Sawit Mentah oleh negara lain.

Berita Harian X