Isnin, 21 Februari 2022 | 8:23pm
Gambar arkib. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
Gambar arkib. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

Mah Sing dapat kelulusan pasarkan sarung tangan di AS

KUALA LUMPUR: Unit perniagaan penjagaan kesihatan Mah Sing Group Bhd, Mah Sing Healthcare Sdn Bhd memperoleh pemberitahuan kebenaran prapasaran sebanyak 510(k) untuk memasarkan sarung tangan pemeriksaan gred perubatan untuk digunakan dengan ubat kemoterapi di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Mah Sing berkata surat pemberitahuan diterima pada 19 Februari 2022 itu akan membolehkan penggiat perubatan terbesar di AS mendapatkan sarung tangan daripada Mah Sing Healthcare kerana pembekal sedia ada mereka turut mendakwa mempunyai perlindungan kemoterapi.

"Perlindungan kemoterapi selalunya menjadi pertimbangan kritikal apabila menilai sarung tangan gred pemeriksaan. Sarung tangan kemoterapi adalah produk yang telah diuji dan diluluskan untuk melindungi daripada ubat kemoterapi.

"Justeru, sarung tangan nitril kami telah diuji dan diluluskan untuk melindungi daripada 11 ubat kemoterapi," kata Mah Sing dalam satu kenyataan hari ini.

Mah Sing berkata sarung tangan pemeriksaan nitrilnya telah diuji untuk digunakan dengan ubat kemoterapi daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) dan akan dikemas kini di laman web FDA pada masa akan datang.

Kilang sarung tangan Mah Sing Healthcare telah menyelesaikan pentauliahan semua 12 barisan pengeluaran dan menerima pensijilan yang diperlukan untuk memasarkan sarung tangan gred perubatan ke beberapa negara termasuk AS, Kanada, Kesatuan Eropah dan Kawasan Ekonomi Eropah.

Berdasarkan kepada jualan lebih kukuh dan jangkauan geografi lebih luas, Mah Sing Healthcare berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan sarung tangan ketika ini, katanya.

Melangkah ke hadapan, Mah Sing berusaha untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi serta mengekalkan perkhidmatan yang cekap, profesional dan berintegriti kepada pengimport, pengedar dan pelanggan globalnya.

– Bernama

Berita Harian X