Isnin, 21 Februari 2022 | 8:15pm
Low Ngee Tong.
Low Ngee Tong.

OMH labur RM590.6 juta tingkat keupayaan perniagaan

KUALA LUMPUR: OM Holdings Ltd (OMH), syarikat terbabit dalam peleburan silikon, feroaloi dan bijih mangan melabur AS$141 juta (RM590.6 juta) bagi meningkatkan keupayaan pengeluarannya untuk memenuhi permintaan global.

Pengerusi Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Low Ngee Tong, berkata langkah pengembangan perniagaan itu adalah untuk mempelbagaikan penawaran produk berasaskan logam silikon, selain digunakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran aloi mangan.

Katanya, terdapat dua rancangan pembesaran kilang di Sarawak yang terletak di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu yang akan dilaksanakan secara progresif tahun ini.

"Sejumlah AS$50 juta (RM209.42 juta) diperuntukkan untuk kos penukaran dan mewujudkan kemudahan sampingan membabitkan logam silikon.

"Penukaran ini akan membolehkan kumpulan mempelbagaikan asas pelanggan akhir dan meneroka sektor lain seperti aluminium, bahan kimia dan industri tenaga boleh diperbaharui (RE), dengan sasaran untuk menghasilkan produk gred tinggi," katanya kepada BH.

OMH adalah pengeluar bijih mangan dan feroaloi yang disenaraikan di Australian Securities Exchange (ASX) sejak 1998 dan membuat kemunculan menerusi penyenaraian sekunder di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Jun tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ngee Tong berkata, perbelanjaan modal (capex) kira-kira AS$91 juta (RM381.2 juta) lagi adalah untuk membina dua relau berkapasiti 33 juta voltan ampere (MVA) dengan pembiayaan bermula tahun ini.

"Rancangan mengembangkan kapasiti pengeluaran aloi mangan menerusi pembinaan dua relau ini akan meningkatkan kapasiti tambahan 150,000 tan silikon mangan (jenis aloi mangan biasa) setahun.

"Kapasiti pengeluaran reka bentuk aloi mangan semasa kami adalah berjumlah 250,000 hingga 300,000 tan setahun yang mana bergantung kepada jenis aloi mangan yang dihasilkan," katanya.

Menuju ke hadapan, beliau menjelaskan, OMH menjangkakan operasi di Malaysia akan menjadi pemacu utama pendapatan kumpulan terutama dengan rancangan peluasan kapasiti pengeluaran.

Justeru, katanya, OMH sedang meninjau usaha untuk mempelbagaikan penawaran produk termasuk meneroka segmen logam silikon.

Beliau berkata, syarikat itu meningkatkan kehadirannya merentasi benua seperti Eropah dan Amerika Utara selain memperkukuhkan pasaran utamanya seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan ASEAN.

"Terdapat pemulihan ekonomi global yang kukuh sejak awal tahun 2021 dengan peningkatan permintaan serantau untuk bijih mangan dan feroaloi selepas penutupan global yang bermula pada suku kedua 2020.

"Pertumbuhan pasaran keluli di Asia Tenggara kekal positif dalam jangka panjang dengan prospek pertumbuhan jangka panjang dirangsang oleh pertumbuhan urbanisasi di rantau ini menerusi pelaburan infrastruktur dan sektor pembinaan.

"Ini akan memberi manfaat kepada kami kerana ferosilikon (FeSi) dan silikon mangan (SiMn) yang dihasilkan di kilang di Sarawak adalah sebahagian daripada unsur pengaloian yang diperlukan untuk pengeluaran keluli, tanpa pengganti yang diketahui dan tidak boleh dikitar semula," katanya.

Lebih 90 peratus perniagaan OMH adalah berorientasikan eksport, manakala baki kurang 10 peratus untuk pasaran di Malaysia.

Sementara itu, Ngee Tong berkata, OMH menjangkakan jumlah pengeluaran berpotensi menyusut pada awal tahun ini sebelum kembali meningkat semua secara beransur-ansur menjelang separuh kedua berikutan cabaran dalam mendapat permit pekerja asing mahir terutama dengan wujudnya varian Omicron dan keperluan penyelenggaraan berjadual.

"Memandangkan tahap margin lebih tinggi, kami optimis bahawa prospek syarikat kekal menggalakkan dalam jangka sederhana jika tahap keseimbangan harga baharu FeSi dan SiMn kekal stabil tahun ini," katanya.

Berita Harian X