Jumaat, 18 Februari 2022 | 8:47pm
Inari Amertron Bhd
Inari Amertron Bhd

Inari Amertron raih untung RM107.29 juta

KUALA LUMPUR: Inari Amertron Bhd mencatatkan untung bersih RM107.29 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM90.09 juta pada suku tahun sebelumnya.

Hasil meningkat 11.5 peratus kepada RM420.25 juta daripada RM376.83 juta sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan dalam hasil semua segmen perniagaan, kata syarikat semikonduktor itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2021, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM851.4 juta, meningkat 17.5 peratus daripada RM724.5 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala untung bersih adalah lebih baik iaitu RM214.22 juta berbanding RM160.16 juta sebelum ini.

Kumpulan itu kekal positif terhadap prospek jangka terdekat dan percaya momentum untuk 2022 akan terus berdaya tahan sejajar dengan unjuran industri daripada permintaan yang baik untuk produknya berikutan peralihan global yang berterusan ke arah 5G, pendigitalan perniagaan dan bekalan yang terhad berterusan dalam pasaran semikonduktor.

Dalam makluman yang berasingan, Inari Amertron mengumumkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 2.3 sen sesaham, yang perlu dibayar pada 8 April 2022.

-BERNAMA

Berita Harian X