Jumaat, 18 Februari 2022 | 3:37pm
Sime Darby Plantation Bhd (SDP)
Sime Darby Plantation Bhd (SDP)

Harga sawit lonjak keuntungan bersih SDP

KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd (SDP) mencatatkan untung bersih RM2.26 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, meningkat 90 peratus berbanding RM1.19 bilion pada tahun sebelumnya.

Pendapatannya pula meningkat kepada RM18.7 bilion berbanding RM13.1 bilion sebelumnya.

Prestasi kukuh kumpulan perladangan itu disumbangkan oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang direalisasikan lebih tinggi serta kadar perahan minyak (OER) lebih baik, sekali gus mengimbangi pengeluaran buah tandan segar (BTS) lebih rendah.

Pengeluaran BTS terjejas oleh kekurangan buruh yang berpanjangan dalam industri sawit Malaysia.

Pada suku keempat tahun kewangan 2021, SDP mencatatkan untung bersih yang tinggi sebanyak RM468 juta, melonjak 214 peratus berbanding RM149 juta suku sama tahun sebelumnya.

Kumpulan mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 12.38 sen sesaham, yang mana bersama-sama dengan dividen interim sebanyak 7.90 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen satu peringkat sebanyak 20.28 sen sesaham untuk tahun kewangan 2021.

Jumlah dividen yang diisytiharkan itu lebih tinggi berbanding tahun kewangan 2020 sebanyak 11.57 sen sesaham.

Pengerusi SDP, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, berkata kumpulan mencatatkan keputusan yang cemerlang untuk tahun kewangan 2021.

"Saya berbangga dengan dedikasi dan kerja keras pekerja kami di keseluruhan operasi dan walaupun cabaran masih ada, saya yakin semangat mereka akan berterusan sepanjang 2022," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha, berkata walaupun kumpulan mengakhiri tahun kewangan 2021 dengan keputusan yang cemerlang, laluan ke hadapan kekal mencabar.

Beliau berkata, pada 28 Januari 2022, Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan penemuan bahawa produk minyak sawit tertentu SDP dihasilkan menggunakan buruh paksa.

Katanya, walaupun penemuan itu mengecewakan, pihaknya terus berusaha untuk menangani semua cabaran itu, dengan mengekalkan kebajikan dan kesejahteraan tenaga kerja sebagai keutamaan.

"Ketika kumpulan memulakan pembayaran balik yuran pengambilan dan kos berkaitan kepada pekerja asing semasa dan sebelumnya yang mungkin dicaj oleh ejen pihak ketiga di negara sumber, kami juga tidak sabar menyiapkan penilaian bebas operasi Malaysia.

"Sementara itu, kumpulan melaksanakan beberapa langkah untuk menambah baik struktur tadbir urus sedia ada, dasar dan prosedur," katanya.

Mohamad Helmy berkata, SDP juga akan berusaha untuk terus menangani kekurangan buruh semasa yang serius dengan mengurangkan pergantungan kepada buruh kasar.

Beliau berkata, tumpuan kumpulan pada mekanisasi, automasi dan pendigitalan operasi perladangan akan menjadi satu lagi keutamaan tertinggi pada 2022 memandangkan SDP melihat ke arah mencipta semula sifat kerja semula jadi di ladang dan mempergiatkan usaha untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan.

"Kami percaya 2022 akan menjadi tahun transformatif untuk kumpulan," katanya.

SDP menjangkakan harga MSM kekal tinggi sekurang-kurangnya sepanjang separuh pertama 2022 berikutan bekalan hanya dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini sejajar dengan musim pengeluaran tinggi.

Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, kumpulan menjangkakan prestasi untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 adalah memuaskan.

Berita Harian X