Khamis, 17 Februari 2022 | 8:48pm
Kossan Rubber Industries Bhd
Kossan Rubber Industries Bhd

Kossan Rubber catat untung RM2.85 bilion

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Kossan Rubber Industries Bhd melonjak kepada RM2.85 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM1.08 bilion pada tahun kewangan 2020.

Pendapatan naik 82.97 peratus kepada RM6.66 bilion pada tahun kewangan 2021 daripada RM3.64 bilion yang dicatatkan semasa tahun kewangan 2020 susulan hasil yang lebih tinggi daripada bahagian pembuatan sarung tangan, produk getah teknikal (TRP) dan operasi bilik bersih.

Keuntungan sebelum cukai menokok sebanyak 160 peratus kepada RM3.74 bilion, berbanding dengan RM1.44 bilion pada tahun kewangan 2020 disebabkan oleh kenaikan harga jualan (ASP) sarung tangan.

Dalam tempoh terdekat, perniagaan sarung tangan dijangka akan terus mencabar dengan ketidakseimbangan bekalan dan permintaan yang berterusan.

Kumpulan meramalkan berlaku penurunan permintaan sarung tangan dan ASP berbanding semasa kemuncak pandemik akibat pelancaran vaksin di seluruh dunia.

"Walaupun dengan wujudnya varian Omicron, peratusan kes COVID-19 yang dikategorikan sebagai kritikal merosot berbanding semasa peringkat awal pandemik," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Pembuat sarung tangan itu ketika mengulas mengenai prospek menjelaskan ia akan meneruskan pelan transformasinya, yang mana perubahan struktur dilaksanakan di seluruh organisasi, dengan tumpuan terhadap kecekapan operasi yang akan membolehkan kumpulan menjadi berdaya tahan walaupun dalam menghadapi kenaikan kos dan persaingan.

Kumpulan mempercepatkan pelaburan semulanya ke dalam pendigitalan serta automasi dalam kilang-kilangnya bagi menambah produktiviti dan menyediakan kumpulan untuk fasa pertumbuhan yang akan datang.

Selepas pandemik, industri sarung tangan akan terus mengalami pertumbuhan yang stabil disokong oleh piawaian penjagaan kesihatan yang lebih tinggi dan kesedaran kebersihan dalam sektor perubatan serta bukan perubatan, katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X