Rabu, 16 Februari 2022 | 8:24pm

Untung bersih KLK meningkat kepada RM599 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) meningkat kepada RM599.3 juta pada suku pertama berakhir 31 Disember 2021 daripada RM357.4 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Pendapatan naik kepada RM6.83 bilion daripada RM4.3 bilion sebelum ini.

Syarikat itu memberitahu bursa saham bahawa keuntungan bahagian perladangannya meningkat lebih dua kali ganda kepada RM607.9 juta, didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi.

Bahagian pembuatannya melaporkan lonjakan sebanyak 74 peratus untuk keuntungan kepada RM319.6 juta daripada RM183.7 juta dalam tempoh sama sebelum ini.

Bagaimanapun, keuntungan perniagaan pembangunan hartanah kumpulan perladangan itu merosot 14.5 peratus kepada RM18.8 juta walaupun perolehan lebih tinggi sebanyak RM56.0 juta berikutan margin yang rendah.

Bagi bahagian pelaburan, keuntungannya meningkat kepada RM23.9 juta daripada RM22.2 juta sebelum ini, disumbangkan terutamanya oleh keuntungan yang lebih baik daripada sektor perladangan sebanyak RM59.7 juta berikutan perolehan yang lebih tinggi daripada purata harga jualan semua tanaman yang tinggi.

KLK berkata keuntungan bahagian perladangannya untuk tahun kewangan 2022 dijangka lebih baik, disokong oleh harga MSM dan PK yang menggalakkan dan sumbangan keuntungan daripada anak syarikat yang baru diambil alih.

"Walaupun persekitaran operasi yang mencabar berikutan turun naik harga bahan mentah dan persaingan sengit, prestasi bahagian pembuatan diunjurkan memuaskan untuk tahun kewangan 2022," katanya.

– Bernama

Berita Harian X