Selasa, 15 Februari 2022 | 1:04pm
Aplikasi airasia Super App
Aplikasi airasia Super App

airasia Super App perkukuh platform pelancongan

KUALA LUMPUR: airasia Super App menjalin kerjasama dengan MG Group, pasaran hospitaliti perniagaan-ke-perniagaan (B2B) terkemuka di Asia Tenggara bagi mengembangkannya sebagai platform agensi pelancongan dalam talian (OTA) yang lebih pantas dan kukuh.

Kerjasama itu akan menyaksikan integrasi platform MG Jarvis ke platform jualan airasia Super App pada aplikasi dan laman web yang akan menawarkan lebih 350,000 tempat penginapan di platform MG dan membolehkan rakan kongsi hotel MG memanfaatkan kekuatan airasia, sebagai aplikasi super dan peneraju syarikat penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo, berkata, industri pelancongan berkembang pesat dan penting bagi pihaknya untuk terus bekerjasama dengan peserta industri.

"Sebagai OTA, kami kini mempunyai 700 rakan kongsi syarikat penerbangan di platform kami termasuk Etihad, Emirates, Turkish Airlines, Air France dan banyak lagi untuk menghubungkan orang ramai ke lebih 3,000 destinasi di seluruh dunia.

"Kerjasama dengan MG Group yang mempunyai kekuatan dalam pengedaran dan teknologi hotel akan melengkapkan kami sebagai platform OTA dan mempercepatkan pelan airasia Super App untuk menjadi OTA terkemuka di rantau ini.

"Kami sudah pun menjadi salah satu daripada tiga OTA dalam talian teratas di ASEAN dan berharap kerjasama dengan MG Group ini akan terus melonjakkan kedudukan kami lebih jauh ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden Pengarah MG Group, Brett Henry, berkata, AirAsia adalah inspirasi kepada semua jenama pelancongan di Asia Tenggara, terutama pada masa yang mencabar ini.

"AirAsia terus kekal sebagai peneraju industri dengan model dan produk baharu untuk membina jenama perjalanan dan gaya hidup terbaik.

"MG berbangga kerana dapat bekerjasama dengan pemimpin industri seperti AirAsia dan hubungan ini sejajar dengan misi kami untuk membantu hotel untuk terus berkembang.

"Platform MG Jarvis baharu amat tepat untuk menyokong permintaan tinggi dan masa tindak balas pantas yang diperlukan oleh airasia Super App," katanya.

Berita Harian X