Isnin, 14 Februari 2022 | 3:34pm
Gambar fail. - Reuters
Gambar fail. - Reuters

AirAsia X peroleh penggunaan ruang kargo A330-300

KUALA LUMPUR: AirAsia X (AAX) telah memperoleh penggunaan ruang kargo dalam salah sebuah pesawat badan lebar A330-300 untuk tempoh permulaan selama satu tahun.

Dalam satu kenyataan hari ini, Airasia berkata Teleport, cabang bagi logistik Capital A akan menggunakan kapasiti tambahan daripada AAX untuk memenuhi keperluan perkhidmatan penghantaran kepada para pelanggannya di seluruh Asia Pasifik.

"Ini adalah pengumuman penting yang kedua dalam tempoh hanya beberapa minggu oleh AAX yang baru sahaja menjalani proses penstrukturan semula syarikat untuk meningkatkan usahanya sebagai rakan kongsi jangka panjang yang berdaya maju kepada pengendali-pengendali kargo terbesar dunia." katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AAX Benyamin Ismail berkata, syarikat sedang berbincang dengan beberapa buah syarikat global utama lain yang memerlukan perkhidmatan kargo udara, terutamanya di negara yang AAX beroperasi dan mempunyai hak penerbangan.

"Pada masa hadapan, pendapatan daripada perkhidmatan kargo akan menyokong strategi laluan kami dan buat pertama kalinya, hasil daripada penumpang akan menjadi pendapatan sampingan." katanya.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Kapten Suresh Kumar Bangah berkata AAX berhasrat menambah satu pesawat pada setiap bulan dengan perkhidmatan penuh mulai sekarang dan berharap untuk beroperasi dengan rangkaian pesawat sepenuhnya pada penghujung suku ketiga.

Sementara itu, COO Teleport Adrian Loretz berkata sebagai tambahan kepada pesawat kargo khas iaitu 737-800, pesawat A330 tambahan daripada AAX menyediakan lebih banyak akses kapasiti untuk pelanggan memenuhi permintaan di rantau ini semasa beroperasi dari hab utama di Kuala Lumpur dan Bangkok.

"Pada 2022, kami sedang meninjau untuk mengukuhkan armada kami dan menambah lebih banyak destinasi utama ke dalam rangkaian berjadual kami dengan liputan meluas di Asia Tenggara dan seterusnya, ditambah pula dengan liputan yang luas dan kekerapan tinggi daripada kapasiti pesawat penumpang AirAsia sedia ada," katanya.

— Bernama

Berita Harian X