Jumaat, 11 Februari 2022 | 4:23pm
Dialog Group Bhd
Dialog Group Bhd

Konsortium Dialog dapat kontrak Petronas Chemicals RM724 juta

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Dialog Group Bhd, Dialog E & C Sdn Bhd (DECSB) menerusi konsortium bersama Technip Energies (M) Sdn Bhd menerima Surat Lantikan daripada Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn Bhd (PCFKSB) untuk kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM724 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Dialog Group berkata projek itu adalah penyediaan perkhidmatan EPCC bagi loji melamina untuk PCFKSB dan dijangka bermula pada Februari 2022 dan siap menjelang separuh kedua 2024.

Kepentingan DECSB dalam konsortium berkenaan dijangka sebanyak 30 peratus dengan Technip Energies memegang 70 peratus baki kepentingan.

"Konsortium itu akan membina satu loji melamina yang baharu, termasuk pengubahsuaian loji dan utiliti sedia ada bagi memenuhi keperluan projek.

"Skop kerja projek itu membabitkan EPCC loji melamina baharu dan kemudahan dengan skop kejuruteraan, perolehan dan pentauliahan dilaksanakan oleh Technip Energies manakala skop pembinaan dan pra-pentauliahan dikendalikan oleh DECSB," menurut Dialog Group.

Ia menambah, projek itu dijangka tidak memberi kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham utamanya.

Bagaimanapun, ia diunjur menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 dan seterusnya sehingga projek siap.

PCFKSB adalah anak syarikat milik penuh Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) dan terbabit dalam pembuatan petrokimia, terutama menghasilkan urea berbutir untuk kegunaan dalam industri pertanian tempatan dan asing.

-BERNAMA

Berita Harian X